SEPANG - Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih belum pulih menyebabkan keadaan di pintu pelepasan sedikit sesak selepas papan kenyataan pintu masuk dan waktu penerbangan tidak berfungsi dengan baik.
Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa penumpang melahirkan rasa panik susulan situasi tersebut namun kecekapan kakitangan KLIA yang ditugaskan berjaya mengawal situasi.
Makluman berkaitan maklumat penerbangan seperti pintu masuk, nombor penerbangan dan masa terpaksa ditulis secara manual oleh kakitangan KLIA di sekitar kawasan menunggu serta selepas pemeriksaan imigresen.
Pengumuman berkaitan gangguan sistem juga kerap diulang oleh petugas KLIA yang turut menyarankan kepada penumpang penerbangan antarabangsa agar melakukan daftar masuk bagasi lebih awal bagi memudahkan urusan selepas itu.
Sementara itu, di beberapa grup umum berkaitan pelancongan di Facebook mendapati rata-rata melahirkan kebimbangan dan berharap situasi tersebut tidak berlarutan.
Ada antara mereka yang akan melancong dalam masa terdekat ke luar negara menggunakan perkhidmatan penerbangan, namun media melaporkan gangguan sistem di KLIA antara lain mengakibatkan kelewatan penerbangan.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, setakat jam 6 pagi tadi, pasukan mereka masih berusaha menstabilkan sistem berkenaan.
Katanya, penumpang dinasihati supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pesawat mereka berlepas.
Gangguan hubungan itu, yang bermula sejak Rabu malam menjejaskan sistem utama lapangan terbang seperti sambungan wifi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).
MAHB berkata, bagi mengurangkan masalah itu, kesemua 38 tapak pesawat tanpa pintu di terminal utama KLIA digunakan untuk memenuhi keperluan kapal terbang yang tidak dapat bergerak ke pintu yang dijadualkan kerana masih digunakan.
Setakat 10 malam tadi, 68 kelewatan penerbangan telah dilaporkan.
ARTIKEL BERKAITAN: KLIA masih alami gangguan sistem pagi ini