KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori dihukum 15 tahun penjara dan dikenakan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menetak tangan seorang lelaki sehingga hampir putus.
Keputusan dibuat selepas tertuduh, Jafmi Mohd, 32, dari Besut, didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, Anudin Abdul Ghani, 41, sehingga disahkan mengalami kecacatan kekal di tangannya oleh doktor.
Iklan
Iklan
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dengan menggunakan sebilah pedang samurai, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang di hadapan kedai di Bandar Ketengah Jaya, Dungun, pada 14 Disember 2017.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dihadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam bela, Che Amir dan Mohd Hayyatuddin Muhamad.