SUBANG JAYA - Seorang wanita yang dipercayai hampir menjadi mangsa rogol diselamatkan unit peronda polis (MPV) yang sedang membuat rondaan, Rabu lalu.
Memetik laman sosial Facebook Polis Daerah Subang Jaya, dalam kejadian jam 8.40 malam itu, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya turut berjaya menahan suspek yang berada di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Anggota bertindak pantas menyelamatkan seorang perempuan daripada dirogol dan berjaya menangkap suspek yang cuba melarikan diri dari tempat kejadian.
"Semasa kejadian, unit MPV bertindak segera sebaik menerima maklumat dan berjaya menangani kejadian jenayah daripada berlaku," tulisnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Kejadian berlaku di Terowong USJ21 melibatkan mangsa berusia lewat 20-an yang berjalan kaki mahu pulang ke rumah sebelum diserang lelaki tidak dikenali.
"Kejadian menyebabkan mangsa cedera ringan dan calar. Kes disiasat di bawah 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya.