Anis Amira pilih berbasikal ke Olimpik 2024

Iklan
Anis Amira - Foto Bernama

PELUMBA meningkat naik, Anis Amira Rosidi tidak mahu lagi menoleh ke belakang selepas memutuskan memilih sukan berbasikal dan meninggalkan sukan olahraga yang diceburinya sebelum ini.

Atlet berbasikal trek negara itu kini merupakan pelumba wanita tunggal yang menjalani latihan bersama-sama skuad elit kebangsaan diketuai Mohd Azizulhasni Awang, Muhd Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis di bawah bimbingan ketua jurulatih John Beasley dan berpangkalan di Melbourne, Australia.

Iklan
Iklan

Pelumba berusia 21 tahun itu antara permata baharu yang digilap dan menjadi sandaran skuad berbasikal trek kebangsaan untuk penyertaan di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Seiring dengan cita-cita serta harapan tinggi untuk beraksi di pentas berprestij, gadis tinggi lampai itu berkata beliau kini sedang bekerja keras serta mula mengumpul mata ranking bagi merealisasikan impiannya untuk bergelar Olimpian.

Iklan

"Untuk persediaan sekarang ini, sasaran saya untuk jangka masa yang lebih panjang...maksudnya masa ke Olimpik Paris kalau saya ada rezeki untuk masuk, untuk layak. Jadi, sekarang saya kena bekerja keraslah.

"Sekarang jurulatih bagi saya banyak berlumba dekat luar (negara) atau di dalam negara untuk belajar teknik dan taktik dalam perlumbaan. Kalau saya dapat podium, saya anggap bonuslah untuk saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Velodrom Nasional, di sini hari ini.

Iklan

Pelumba yang mewakili Yayasan Sime Darby (YSD) itu telah mempamerkan prestasi membanggakan apabila meraih pingat perak dalam acara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Grand Prix Piala Trek Asia Tenggara 2019, mengecewakan pelumba senior Fatehah Mustapa yang akur di kedudukan kelapan.

Anis Amira ketika dibangku sekolah, pernah menceburi sukan olahraga dalam acara 200 meter dan 400 meter namun terpaksa 'berehat' selepas mengalami kecederaan hamstring ketika memanaskan badan.

Berikutan lama berehat untuk pemulihan, Anis Amira tidak lagi dilihat kompetitif untuk meneruskan sukan olahraga dan 'tuah datang bergolek' apabila beliau ditawarkan tempat dalam acara berbasikal.

"Saya tidak menyesal (beralih ke sukan berbasikal) sebab saya memang minat sukan. Jadi, saya sudah beralih dari olahraga dan mahu berikan sepenuh tumpuan saya kepada sukan berbasikal yang saya ceburi sekarang," jelasnya.

Anis Amira mula menunjukkan peningkatan apabila muncul juara acara keirin dan pecut berpasukan bergandingan dengan Farina Shawati Mohd Adnan di Piala Asia di Taiwan, Mei lalu.

Pelumba kelahiran Perlis itu juga meraih tempat ketiga di 2nd Grand Prix Citta di Itali dalam acara keirin dan menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dalam acara pecut individu.

Sementara itu, Beasley menzahirkan keyakinannya terhadap kemampuan Anis Amira untuk pergi lebih jauh dalam sukan berbasikal trek memandangkan pencapaiannya yang semakin meningkat.

"Kita akan tunggu dan lihat jika memperoleh mata yang cukup untuk layak ke Sukan Olimpik tetapi saya sangat gembira dengan pencapaian pingat perak oleh Anis. Kami banyak memberi keyakinan kepadanya dan dia tidak begitu jauh daripada mencapai kemenangan...mungkin sedikit kesilapan taktikal yang menghalangnya.

"Matlamat peribadi beliau adalah Sukan Olimpik Paris dan dia akan berjaya....percayalah saya. Jadi, sekarang apa yang dia perlukan adalah peluang untuk menimba pengalaman dan terus belajar mengenai perlumbaan itu.

"Pada empat tahun akan datang, beliau akan menjadi seorang pelumba yang betul-betul handal,” katanya. - Bernama