TEMERLOH - Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selepas jari telunjuknya tersepit pada tombol pintu di rumahnya di Mentakab di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.43 malam itu, jari mangsa yang berusia lapan tahun itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin.
Ketua Balai BBP Bukit Angin,Penolong Penguasa Bomba, Hasnuddin Husin berkata, seorang pegawai dan tujuh anggota dari balai tersebut bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini selepas menerima panggilan.
Menurutnya, sebaik tiba di unit terbabit mendapati jari telunjuk mangsa telah tersepit pada tombol pintu.
"Tindakan anggota ialah menggunakan peralatan khas ring cutter dan plier sehingga berjaya mengeluarkan jari mangsa pada tombol pintu.
"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pegawai perubatan bertugas untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, operasi tersebut mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum pasukan tersebut kembali ke balai.