Empat anak Malaysia sukarela jaga, selia jam besar simbolik merdeka

Iklan
Jam besar bangunan Sultan Abdul Samad yang berusia 122 tahun merupakan antara monumen bersejarah yang perlu dipelihara sebaik-baiknya untuk dihayati generasi akan datang. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jam besar bangunan Sultan Abdul Samad berbunyi sebanyak 12 kali tepat detik 12 tengah malam pada tanggal 31 Ogos 1957, malam sambutan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, namun tidak ramai yang mengetahui kisah di sebalik menara jam tersebut.

Jam yang kini mencecah 122 tahun, buatan Gillet and Johnston Manufacturers, Croydon, England pada tahun 1897 itu berfungsi sehingga kini dan menjadi saksi saat Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dikibarkan buat kali pertama di Dataran Merdeka.

Iklan
Iklan

Bunyi loceng Menara Jam Bangunan Sultan Abdul Samad yang dapat didengar dalam lingkungan satu kilometer itu berfungsi sepenuhnya secara manual mengikut kaedah bandul pemberat, sistem takal dan gear, seperti mekanisme jam besar Menara Condong Teluk Intan, Perak.

Mesin jam besar bangunan Sultan Abdul Samad masih lagi dalam keadaan baik ketika tinjauan kerja penyelenggaraan jam besar itu sempena Hari Kebangsaan ke-62. - Foto Bernama

Siapa sangka, di sebalik menara ikon kemegahan simbolik kemerdekaan negara, empat orang anak watan bertugas secara sukarela bagi menjaga dan mengawal selia jam besar itu.

Iklan

Generasi keempat penjaga jam, Mohd Rosli Mat Tajuddin, Mohd Rashidi Jaluddin, L. Kumarasamy dan Rosdi Hisham Hassan, yang juga pekerja di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan bergilir-gilir setiap hari untuk memutar engkol jam bagi menggerakkan kedua pemberat yang keseluruhan seberat 453 kilogram.

Ketua penjaga jam besar, Mohd Rosli Mat Tajuddin, 42, berkata, beliau menawarkan diri untuk menjaga jam ini tiga tahun lepas atas dasar minat dan sayangkan negara.

Iklan

Mengambil masa tiga bulan untuk belajar teknik penjagaan jam, beliau dan rakan-rakan perlu mendaki tangga setinggi lima tingkat setiap hari untuk memutar engkol dan meminyak gear jam serta memeriksa keadaan keseluruhan menara yang menempatkan jam tersebut.

"Kalau ada kerosakan, kita akan buat laporan agar dapat dibaik pulih. Sebelum ini, ada beberapa kali jam ini berhenti dan loceng tidak berbunyi mengikut waktu yang sepatutnya.

"Kami juga bertugas untuk menjaga jam tersebut pada sambutan Hari Kebangsaan contohnya, untuk membuat pelarasan waktu bagi memastikan loceng berbunyi tepat waktu orang kenamaan tiba, bergantung kepada arahan yang diterima daripada pihak atasan,” katanya.

Mohd Rosli melakukan kerja penyelenggaraan jam besar ketika sesi temu bual sempena Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka, kelmarin. - Foto Bernama

Bekerja sebagai pengawal keselamatan di JUPEM, Mohd Rosli berbangga dapat memikul tanggungjawab besar untuk memelihara jam yang mempunyai nilai sentimental sebagai salah satu tinggalan sejarah negara dan berharap agar monumen ini terus dikekalkan.

Menurut Mohd Rosli, kesemua sukarelawan ini tidak mendapat sebarang elaun khas atas tugas menjaga jam tersebut sebaliknya, hanya menerima bayaran bekerja lebih masa.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JUPEM M. Janagarajan berkata, ada pihak yang bercadang untuk menukarkan jam besar tersebut dengan jam digital bagi memudahkan proses kawal selia menara jam tersebut.

Namun, beliau berpendapat bahawa idea tersebut adalah sesuatu yang dangkal dan seolah-olah bersifat tidak menghargai tinggalan sejarah kerana monumen bersejarah seperti ini perlu dipelihara sebaik-baiknya untuk dihayati generasi akan datang.

"JUPEM mahu mengekalkan khazanah yang kaya dengan nilai sejarah ini dalam bentuk asalnya sejak diletakkan di menara tersebut. Gear yang diperbuat daripada tembaga tulen masih elok dan tidak haus kerana dijaga rapi.

"Kita (JUPEM) mendapat RM50,000 setahun daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk penjagaan menara jam termasuk membersih, membaik pulih struktur menara selain penjagaan dan pemeriksaan fungsi mekanikal jam. Kabel pemberat juga perlu ditukar setiap 3 tahun,” katanya.

Saban tahun, pekerja Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan mesin jam manual di kabin operasi tingkat lima yang menempatkan pemberat.

Pemberat tersebut masing-masing digunakan untuk perjalanan jarum jam dan fungsi loceng jam (pendulum), pemberat ini perlu berada pada paras tertinggi iaitu di tingkat lima selepas engkol diputar untuk mengunci jam.

Selang tiga atau empat hari, pemberat tersebut akan turun ke tingkat dua dengan sistem takal dan kabel dawai, seterusnya engkol jam tersebut perlu dikunci semula bagi memastikan jam terus berfungsi.

Mohd Rosli melakukan kerja penyelenggaraan jam besar ketika sesi temu bual sempena Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka, kelmarin. - Foto Bernama

Loceng jam ini terletak di tingkat empat dan memerlukan ruang yang agak luas memandangkan saiz loceng yang besar dan hampir 10 orang boleh berdiri di bawah loceng tersebut.

Dentingan loceng akan berbunyi sebagai contoh, sebanyak lapan kali pada jam 8.00 pagi dan 8.00 malam kemudian berbunyi sekali sahaja pada setiap setengah jam.

Selain sambutan hari kemerdekaan negara, pelbagai upacara rasmi diadakan di hadapan monumen bersejarah itu dan di sekitar Dataran Merdeka termasuklah Perarakan Citrawarna Malaysia, Sambutan Tahun Baru, Mengarak Panji-Panji Di Raja dan seumpamanya. - Bernama