KUALA LUMPUR - Stigma dalam kalangan masyarakat bahawa penghijrahan dari luar bandar ke bandar mampu menjadi penyelesaian kepada masalah kewangan perlu dihapuskan bagi memastikan mereka tidak terjerumus ke dalam ‘perangkap’ miskin bandar.
Penganalisis sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, ‘kepercayaan’ itu harus diubah kerana itu adalah tanggapan lebih 20 tahun dahulu dan kini masyarakat terutamanya luar bandar harus lebih kreatif dalam mencari serta mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan mereka.
"Ekoran faktor pembandaran dan proses modenisasi yang pesat, jurang antara bandar serta luar bandar dalam konteks Malaysia tidak jauh berbeza.
"Kini kita boleh lihat pembangunan antara bandar dan luar bandar, contohnya dari Kuala Lumpur ke Melaka, mungkin kita hampir-hampir tidak perasan sudah melalui kawasan kampung dan luar bandar kerana fizikal sekitarnya tiada beza,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata, potensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan di samping memajukan kawasan luar bandar akan berlaku sekiranya tenaga buruh yang ramai dari kawasan itu kekal dan menghasilkan pelbagai inovasi bagi menarik perhatian industri untuk beroperasi di luar bandar.
"Sebab apa industri masih kekal di kawasan bandar? Sebab tenaga buruh ada di tempat itu, tenaga buruh datang kepada mereka (industri). Sekiranya tenaga buruh tidak datang, macam mana mereka (industri) nak dapatkan pekerja.
"Jadi mereka (industri) ini akan fikir kalau mereka datang ke luar bandar, mereka akan ada pekerja dan kadar bayaran yang diberikan kepada pekerja dalam jumlah sesuai. Pekerja juga tidak perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan sewa rumah lebih murah,” katanya.
Bagi penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, negara kini menghadapi masalah ekoran penghijrahan hampir 70 peratus isi rumah dari luar bandar ke bandar sejak lima tahun lalu yang menjadi faktor penyumbang kepada kemiskinan bandar.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang berhijrah ini akan menghadapi masalah mencari tempat tinggal yang selesa dan ada yang berakhir tinggal di perumahan setinggan di kawasan pinggir bandar kerana harga rumah jauh lebih murah dibandingkan di bandar.
"Kualiti hidup juga semakin merosot kerana terpaksa duduk sebagai setinggan di mana jika dibandingkan, mereka mungkin lebih selesa ketika tinggal di luar bandar sebelum ini walaupun bukan hidup dalam keadaan senang," katanya.
Barjoyai berkata, pekerjaan yang dimiliki golongan itu juga kadangkala tidak seperti yang dibayangkan ketika mula-mula keluar dari kampung dan mereka akhirnya tiada pilihan serta dibayar dengan kadar upah jauh lebih rendah daripada kos hidup di bandar.
"Contohnya, di Malaysia kita tentukan gaji minimum RM1,100 dan ada gaji mereka ini yang hanya melewati gaji minimum sedangkan kos sara hidup iaitu minimum gaji RM2,500 (isi rumah bagi pasangan berkahwin anak seorang) di bandar adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan di kampung.
"Walaupun mereka bekerja tetap dan ada yang di sektor awam tapi pendapatan masih jauh lebih rendah daripada keperluan hidup minimum dan ini menjadikan mereka miskin relatif," katanya.
Menurutnya, antara langkah yang dapat dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup adalah dengan memulakan perniagaan untuk menjana pendapatan tambahan kerana sebelum ini pendapatan isi rumah itu hanya bergantung kepada pendapatan daripada gaji bulanan sahaja untuk menyara hidup.
"Mereka mungkin menghadapi kekangan tertentu untuk memulakan perniagaan antaranya waktu kerja tetap yang tidak fleksibel dan kesukaran mendapat pinjaman bank kerana tidak cukup syarat pinjaman," katanya.
Katanya, satu penyelesaian terbaik untuk jangka masa panjang adalah menggalakkan mereka pulang ke kampung kerana kawasan itu akan menjadi bandar kelak ekoran proses pembandaran yang kini sedang dijalankan di seluruh negara.
"Kita boleh lihat dalam 20 tahun lagi, hampir 80 kawasan luar bandar seluruh negara akan menjadi kawasan perbandaran, contohnya di Kedah," katanya. - Bernama