RAMALLAH - PALESTIN. Kerajaan Palestin mahu mengenakan larangan terhadap kemasukan sayur-sayuran, buah-buahan dan ayam ternakan dari Israel ke pasaran wilayah itu sebagai respons terhadap langkah sama dikenakan ke atas produk mereka.
Pengumuman itu dibuat ketika mesyuarat Kabinet di Ramallah, Tebing Barat dipengerusikan Presiden Mahmoud Abbas, semalam.
"Selaras dengan prinsip untuk melindungi produk tempatan dan petani Palestin serta tindak balas terhadap keputusan unilateral dibuat Israel, kerajaan memutuskan untuk membuat langkah tit-for-tat terhadap Tel Aviv," menurut kenyataan jurucakap presiden.
Minggu lalu, rejim Israel mengenakan larangan import produk pertanian Palestin selepas Pihak Berkuasa Palestin tidak membenarkan kemasukan ayam ke wilayah itu demi untuk melindungi petani mereka.
Menurut data rasmi, eksport sayur-sayuran Palestin ke pasaran Israel pada 2017 mencecah hampir AS$56 juta (RM233 juta) manakala buah-buahan AS$5 juta (RM21 juta).
Dalam perkembangan berkaitan, bank ketujuh terbesar di dunia, HSBC telah menghentikan pelaburan terhadap pembuat senjata Israel, Elbit Systems.
Keputusan itu disifatkan sebagai kejayaan besar terhadap gerakan Boikot, Sekat dan Lupus (BDS) yang menentang pendudukan Israel.
Kumpulan aktivis, War on Want memaklumkan keputusan terhadap kontraktor terbesar tentera rejim Zionis itu dibuat selepas HSBC menerima lebih 24,000 emel daripada pihak yang bimbang dengan 'hubungannya' bersama Elbit dan firma lain yang membantu Israel melakukan kekejaman terhadap penduduk Palestin. - Agensi