Orang asli Kuala Koh: Keputusan penuh dua minggu lagi

Iklan
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) melakukan pelepasan peserta Walk For Health selepas selesai melancarkan Program Kampungku Sihat dan Bulan Kemerdekaan peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Dataran Pantai Batu Burok, di sini hari ini.

KUALA TERENGGANU - Laporan penuh keputusan forensik mayat orang asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu keputusan deoksiribonukleik (DNA), toksikologi dan logam berat serta entomologi.

Iklan
Iklan

"Kita telah melakukan pelbagai ujian terhadap 12 mayat berkenaan tetapi saya tidak boleh buat pengumuman lagi kerana ujian DNA, toksikologi dan logam berat serta entomologi belum siap.

"Kita masih menunggu keputusan tiga ujian ini, saya jangka dalam dua minggu lagi akan dapat keputusan penuh,” katanya selepas melancarkan Program Kampungku Sihat dan Bulan Kemerdekaan peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Dataran Pantai Batu Burok, di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.

Program Kampungku Sihat adalah inisiatif terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memerangi peningkatan jumlah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dalam kalangan masyarakat dengan lokasi pertama diadakan di Langkawi diikuti Kuala Selangor, Pagoh, Port Dickson dan Temerloh.

Iklan

Ia menggabungkan program-program pengupayaan komuniti dari aspek kesihatan untuk menggerakkan segenap lapisan masyarakat di negara ini agar berusaha mencegah penyakit NCD seperti hipertensi dan diabetes.

Sementara itu ditanya soal desas-desus mengatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan Kabinet dan beberapa pertukaran portfolio menteri, Dr Dzulkefly berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada perdana menteri.

"Minta semua bersabarlah, dengar apa arahan perdana menteri. Itu adalah kepercayaan kita kepada perdana menteri yang akan lakukan terbaik jadi saya harap boleh sabar tunggu arahan dan pengumuman perdana menteri.

"Saya tidak tahu KPI (Petunjuk Prestasi Utama) saya, saya serahkan kepada rakyat dan perdana menteri untuk menilai saya,” katanya.