Hidangan ubi rebus imbau kenangan ketika penjajahan Jepun

Iklan
Gambar hiasan - Foto sumber internet

MELAKA - Juadah ubi rebus dan sambal ikan bilis adalah hidangan rutin yang akan disediakan Aminah Abu Bakar, 68, pemilik Rumah Merdeka di Kampung Morten di sini untuk keluarganya ketika sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.

Aminah berkata, makanan itu disediakan bagi mengimbau kembali kenangan masyarakat terdahulu yang menjadikan ubi rebus sebagai pengganti nasi berikutan kesukaran untuk mendapatkan makanan lain terutamanya ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Iklan
Iklan

"Setiap kali 31 Ogos, saya mesti sediakan ubi rebus untuk keluarga kerana masyarakat sebelum merdeka menjalani kehidupan serba kekurangan dan ubi rebus adalah makanan ruji mereka yang disediakan bersama air panas untuk sarapan pagi atau minum petang untuk menambah tenaga dan meneruskan kehidupan.

"Generasi sekarang terutama orang muda mungkin sudah tidak mengenali makanan tradisi ini, jadi dengan menghidangkan ubi rebus dan sambal ikan bilis kepada anak-anak dan cucu dapatlah saya memperkenalkan kepada mereka makanan utama orang dulu-dulu," katanya di sini.

Iklan

Aminah berkata, hampir 48 tahun dia setia menghidangkan makanan itu kepada keluarganya ketika sambutan Hari Kebangsaan sambil menceritakan kepayahan hidup orang terdahulu yang terpaksa merebus ubi menggunakan dapur kayu api dalam masa lama bagi memastikan ia direbus dengan empuk berbanding dapur gas sekarang.

"Saya juga akan hias rumah yang diberi nama 'Rumah Merdeka' dengan kira-kira 100 Jalur Gemilang pelbagai saiz dan membasuh bahagian bumbung rumah yang dicat menjadi Jalur Gemilang.

Iklan

Menurutnya, Jalur Gemilang berukuran 10 meter panjang dan empat meter lebar di bahagian bumbung rumah yang dicat adiknya, Mohd Aboobaker Yaakob, 60, pada 12 tahun lepas itu akan dicuci pada Januari dan Julai setiap tahun bagi memastikan warna bendera yang terdapat di bumbung itu kekal bersinar.

"Saya dan adik juga mendirikan papan tanda 'Merdeka' di bumbung bahagian tangga pintu masuk bagi menandakan inilah dia 'Rumah Merdeka' dan kebiasaannya selepas membasuh bumbung pada bulan Januari atau Julai, Mohd Aboobaker akan mengecat semula Jalur Gemilang di bumbung tersebut dengan lapisan baharu dengan kos kira-kira RM500.

"Adik mendapat idea mengecat bumbung dengan Jalur Gemilang selepas melihat seorang warga Jerman mengecat bendera negaranya pada bahagian rumah sempena Piala Dunia 2006.

"Pada 2007, dia (Mohd Aboobaker) menghasilkan bendera itu dengan kos kira-kira RM1,200 membeli cat dan peralatannya," kata Aminah yang dilahirkan di rumah yang dibina pada 1945 itu.

Katanya, lima cucu perempuannya yang berusia 2 hingga 6 tahun akan digayakan dengan pakaian Jalur Gemilang setiap tahun sebelum membawa mereka bersama anak dan menantunya melihat perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat Melaka di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir pada 31 Ogos.

"Semangat patriotik perlu dipupuk sejak kecil kerana apabila kanak-kanak cinta kepada negara, mereka akan membesar dengan menghargai warisan, sejarah serta pengorbanan orang terdahulu dan ibu bapalah memainkan peranan menerapkan semangat cintakan negara dari rumah,” katanya. - Bernama