Penyewa PA, PPR liat bayar sewa

Iklan
Khalid memotong riben sebagai gimik pelancaran program Perumahanku Bersih dan Karnival Kerjaya di PPR Pekan Kepong Jalan Silang hari ini. - Foto: DBKL

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan lagi berkompromi dengan penyewa yang liat bayar sewa selepas jumlah terkumpul tunggakan mencecah RM58 juta sehingga 1 Julai lalu.

Datuk Bandar DBKL, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tunggakan itu melibatkan 26,000 daripada keseluruhan 46,000 penyewa yang tinggal Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada antara penyewa berhutang mencecah RM10,000 dan ada juga di antaranya tidak pernah membayar sewa sejak menduduki unit rumah berkenaan.

"Ini tidak adil kepada penyewa lain, malah DBKL turut terkesan dengan tunggakan ini kerana kutipan sewa ini digunakan untuk kos pengurusan dan penyelenggaraan PPA dan PA.

Iklan

"DBKL telah banyak kali bertolak ansur dan membantu penyewa menjelaskan tunggakan melalui program-program yang diperkenalkan. Sudah sampai masanya tindakan lanjut diambil kepada mereka yang ingkar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir program Perumahanku Bersih dan Karnival Kerjaya di PPR Pekan Kepong Jalan Silang di sini hari ini.

Iklan

Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Mengulas lanjut program itu, Khalid menjelaskan program yang diberi nafas baru itu adalah usaha DBKL ke arah penyediaan kediaman kondusif dan selamat kepada penghuni.

"Dalam masa sama, kita mahu melahirkan penghuni yang mempunyai sikap tanggungjawab terhadap penjagaan kebersihan dan keceriaan kawasan perumahan.

"Kementerian Wilayah Persekutuan juga telah mewujudkan perancangan jangka panjang dalam membentuk program kebajikan bagi membantu menaikkan kos sara hidup terutama warga Wilayah Persekutuan mengikut garis panduan ditetapkan termasuk program diadakan hari ini," katanya.