Pura-pura tanya makanan sebelum curi beg tangan

Iklan
Kejadian curi beg tangan guru wanita yang sedang makan di sebuah kedai makan dirakam CCTV yang dimuat naik di laman sosial.

KOTA BHARU – Seorang lelaki bertopi keledar berpura-pura bertanya tentang makanan sebelum bertindak mencuri beg tangan seorang pelanggan wanita yang sedang makan di sebuah restoran di Pauh Lima di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam ketika mangsa bersama anak perempuannya yang berusia 10 tahun duduk di meja makan di dalam kedai bersebelahan dengan jalan raya berkenaan.

Iklan
Iklan

"Tidak lama selepas itu datang seorang lelaki bertopi keledar yang turun dari sebuah motosikal masuk ke dalam kedai dan berurusan dengan seorang pekerja kedai makan tersebut, manakala rakannya pula menunggu di atas motosikal.

"Bagaimanapun lelaki tersebut tidak beli apa-apa dan berpatah balik menuju ke motosikalnya. Ketika lalu bersebelahan meja makan mangsa, suspek menarik beg tangan yang diletakkan wanita berkenaan di kerusi bersebelahan tempat duduknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Menurutnya, sejurus itu suspek kemudiannya melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna biru.

"Mangsa dan pelanggan yang berada di dalam kedai cuba mengejar tetapi gagal. Beg tangan yang dilarikan itu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, dokumen peribadi, pelbagai jenis kad bank, kunci kereta dan telefon bimbit.

Iklan

"Mangsa juga seorang guru berusia 40 tahun itu turut kehilangan sebentuk cincin berlian, tiga cincin emas, seutas gelang tangan berlian, seutas gelang tangan emas dan wang tunai RM890 yang ada di dalam beg tangan tersebut menyebabkan keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM10,800,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan pihak polis sedang giat mengesan dua lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Kami juga mohon sesiapa yang ada maklumat berkaitan kejadian ini agar menyalurkan kepada polis dalam membantu mengesan kedua-dua suspek.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila membawa barang berharga kerana penjenayah hanya menunggu masa sahaja apabila ada berpeluang,” katanya.

Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik di laman sosial Facebook dengan memperoleh sejumlah 1,300 perkongsian; 262 tanda suka dan 267 pelbagai komen daripada netizen setakat jam 3.30 petang tadi.