KUANTAN - Sesi rakaman keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berhubung himpunan Anti Lynas 188 bertempat di Pusat Khidmat Dun Semambu pagi ini berjalan lancar.
Tugas mengambil keterangan dilakukan dua pegawai penyiasat terhadap tiga individu termasuk wakil rakyat tersebut.
Chean Chung berkata, beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis mengenai penglibatannya dalam perhimpunan tersebut.
"Keterangan diambil di pejabat saya hari ini dan semuanya berlangsung dengan tenang. Saya memberi kerjasama sepenuhnya dan menjawab soalan dengan jujur.
"Antara soalan ditanya adalah saya tahu perhimpunan tersebut tiada permit dan adakah saya membuat ucapan ketika himpunan," katanya kepada media sebaik sahaja selesai memberi keterangan.
Turut dipanggil memberi keterangan, Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet dan Setiausaha Persatuan Solidariti Hijau Kuantan, Chu Seng Pong.
Difahamkan beliau adalah di antara lima individu terakhir yang diminta memberi keterangan untuk membantu siasatan berkaitan himpunan yang diadakan di Taman Gelora pada 18 Ogos lalu.
"Hari ini kami bertiga dipanggil membantu siasatan selepas ADUN Teruntum, Sim Chong Siang dan peguam SMSL, Hon Kai Ping pada Khamis lalu," katanya.
Dalam kenyataan sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali mengesahkan perhimpunan pada 8 hingga 9.30 pagi yang menarik lebih 200 peserta itu adalah tanpa permit dan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.