GRO gagal sembunyi dalam bilik rahsia

Iklan
84 GRO warga asing ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan dan karaoke malam tadi.

IPOH - Cubaan sekumpulan pelayan pelanggan (GRO) warga asing bersembunyi dalam bilik rahsia, gagal selepas ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan dan karaoke di Jalan Canning Estate, Taman Ipoh, malam tadi.

Serbuan oleh Jabatan Imigresen Perak sekitar jam 11.45 malam itu dilakukan hasil maklumat awam bahawa premis berkenaan menggaji warga asing tanpa pas yang sah dan bekerja sebagai GRO.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, menyedari kehadiran anggota, kumpulan GRO terbabit melarikan diri dan bersembunyi di sebalik dinding premis.

"Namun taktik itu dapat dihidu pegawai operasi yang berjaya memecah masuk empat bilik rahsia di dalam pusat hiburan berkenaan. Hasil serbuan di sebuah bilik rahsia turut menemukan berpuluh buku nota kecil yang dipercayai digunakan untuk mencatat setiap perkhidmatan mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata, dalam serbuan itu, seramai 84 GRO warga China dan Vietnam berusia antara 25 hingga 35 tahun telah ditahan.

Katanya, turut ditahan 12 lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 46 tahun dipercayai pekerja dan penjaga kepada pelayan-pelayan itu.

Iklan

"Kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas yang sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan tinggal lebih masa serta melindungi warga asing tanpa pas yang sah," katanya.

Kamalludin berkata, operasi berakhir jam 2.30 pagi itu melibatkan 36 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak dan merupakan tangkapan terbesar GRO warga asing setakat ini.

"Premis ini beroperasi bermula jam 3 petang dan akan tutup bergantung kepada jumlah pelanggan. Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat agar pemantauan dan operasi dapat dilakukan secara berterusan mengikut saluran yang betul," katanya.