Gojek: KPWKM utamakan aspek keselamatan wanita, kanak-kanak, OKU

Iklan
Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpendirian akan tetap mengutamakan aspek keselamatan bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak sekiranya golongan itu menggunakan khidmat teksi motosikal Gojek apabila diperkenalkan nanti.

Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata pihaknya akan memperincikan mekanisme mahupun cadangan berkaitan selepas menerima butiran lengkap daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

Iklan
Iklan

"Tidak kiralah Grab (Grab Car), Gojek atau apa-apa saja, bagi pihak kementerian, kami melihat isu ini daripada aspek keselamatan untuk kanak-kanak, golongan wanita dan sudah tentu kami juga melindungi orang kurang upaya (OKU).

"Buat masa ini kami tiada maklumat lagi, tunggu butiran daripada MOT dulu dan kementerian kena buat kajian dan selepas itu baru beri secara rasmi apa-apa cadangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ‘buah fikiran’ kementerian itu bagi mengelak golongan wanita daripada menjadi mangsa sebarang kejadian tidak diingini termasuk jenayah semasa menggunakan khidmat pengangkutan menggunakan motosikal itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek: Kerajaan akan teliti isu berbangkit

Iklan

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata pihaknya yakin dapat membentuk satu mekanisme baharu dalam perlaksanaan perkhidmatan Gojek termasuk mengambil kira aspek keselamatan penunggang dan pembonceng serta sensitiviti masyarakat Muslim.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata sejak Januari lalu 29,000 warga emas kembali bekerja di seluruh negara.

"Sebanyak 63 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berumur antara 60 hingga 64 tahun dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan.

"Ini adalah satu angka yang menggalakkan. Kita mahu kebajikan yang produktif dan tak mahu mereka selalu bergantung kepada kebajikan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata kerajaan bakal menubuhkan lagi 48 PAWE di seluruh negara tahun ini bagi memberi peluang kepada warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta sebagai persiapan Malaysia mencapai status negara tua pada 2030. - Bernama