56 pasukan futsal berentap rebut Piala Ahli Parlimen Jeli

Iklan
Mustapa beramah mesra bersama peserta di luar dewan.

JELI - Sebanyak 56 pasukan berentap merebut Piala Ahli Parlimen Jeli sempena Kejohanan Tertutup Futsal, di sini hari ini.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Jeli, Mohd Afizul Jaafar berkata, kesemua peserta merupakan anak muda dari seluruh parlimen berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ia program julung kali dengan penglibatan di luar jangkaan dari anak muda apabila masing- masing seolah cuba memanfaatkan peluang yang ada bukan sahaja untuk beriadah sebaliknya mengenali antara satu sama lain.

"Penyertaan tanpa mengira latar belakang dan fahaman membuktikan mereka semakin terbuka menerima pendekatan yang dilakukan," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Iklan

Mohd Afizul berkata, dalam pada itu, pihaknya juga cuba menghapuskan jurang antara anak muda dan pemimpin supaya agenda memperkasakan golongan pelapis ini lebih mudah dilakukan.

"Dalam masa sama kita nak golongan muda sentiasa sedar mereka mempunyai seorang Ahli Parlimen yang sangat cakna terhadap kepentingan dan minat mereka termasuk dalam bersukan," katanya.

Iklan
Mustapa bersama sebahagian yang hadir menjayakan Kejohanan Tertutup Futsal Piala Ahli Parlimen Jeli, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mencari bakat- bakat muda untuk ditonjolkan ke peringkat lebih tinggi.

Tambahnya, kejohanan dirasmikan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed itu turut dihadiri kira- kira 500 anak muda dan penduduk setempat.

"Juara kejohanan akan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala dan medal.

"Manakala tempat kedua akan meraih RM700 dan RM500 dan RM400 untuk pemenang tempat ketiga serta keempat," katanya.

Menurutnya, kejohanan berkenaan merupakan aktiviti keempat dianjurkan Pemuda PH Jeli selepas kejayaan menganjurkan program menukar minyak pelincir motosikal, perlumbaan motocross dan sepak takraw sebelum ini.