Zakir Naik: Anwar sokong keputusan Tun M

Iklan
Salah seorang ahli PKR bertanyakan soalan kepada Anwar sewaktu sesi dialog.

KUALA TERENGGANU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar pendakwah bebas, Dr Zakir Naik tidak dihantar pulang ke India.

Menurutnya, sokongan itu berdasarkan ucapan Dr Zakir yang didakwa menimbulkan ketegangan telah diselesaikan, selain siasatan terhadapnya masih diteruskan.

Iklan
Iklan

"Di negara ini, kita kena tegakkan dan hormati prinsip hukum (undang-undang). Maka jalannya mesti ikut jalur hukum.

"Keduanya, mesti ada juga pertimbangan kemanusiaan. Soal keputusan negara nak hantar balik itu juga berdasarkan hukum dan alasan pada tahap sekarang, maka difikirkan tidak wajar (dihantar pulang),” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dewan PKR dan Dialog DSAI bersama Komuniti dan NGO di Bukit Besar, di sini hari ini.

Anwar berkata, dia secara peribadi mengenali Dr Zakir dan pernah menghadiri sidangnya di Bombay, India.

Iklan

Beliau menyatakan pendakwah bebas itu mempunyai kekuatan sebagai pendakwah tapi pendekatannya dalam konteks di negara ini mengundang perbalahan, sehingga ada yang menyatakan dia bukan 'daie' yang baik.

"Dalam negara ini, keputusan kita adalah mulanya memberikan ruang kepadanya tetapi kenyataannya, ruang itu telah mengundang banyak perbalahan yang tidak berkesudahan.

"Dia pula orang asing. Oleh yang demikian, polis sudah buat pendirian, saya sendiri menggesa dan merayu kepada beliau supaya mengelak daripada terlibat dalam percaturan politik,” katanya.

Anwar menegaskan, Dr Zakir mungkin tidak bermaksud sedemikian kerana jika dilihat, kenyataannya konsisten sebagaimana sebelum ini, namun agak provokatif.

Dalam wacana antara agama katanya, mungkin sedikit sebanyak akan menyinggung pihak tertentu, namun beliau percaya, Dr Zakir bukan sengaja ingin menghina atau mempertikaikan kaum Cina dan India di negara ini.

"Tapi, persepsi dah jadi sedemikian, jadi tanggungjawab pimpinan (kerajaan) adalah untuk mengurangkan (ketegangan). Jadi, itulah pendapat yang diambil Dr Mahathir.

"Kita ambil tindakan ikut jalur hukum, bukan kerana sentimen orang mendesak dan sebagainya,” katanya.