KLIA kembali normal selepas gangguan sistem tiga hari

Iklan
Operasi di KLIA mula beransur pulih selepas mengalami gangguan sistem sejak 22 Mac lepas. - Foto BERNAMA

SEPANG - Penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilihat kembali seperti biasa untuk proses daftar masuk selepas gangguan sistem sementara yang berlaku sejak malam 21 Ogos malam dengan kebanyakan mereka melahirkan rasa puas hati dengan cara pengendali lapangan terbang menangani masalah itu.

Keadaan bertambah baik selepas penggantian peralatan rangkaian yang diumumkan semalam oleh Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) selepas kegagalan rangkaian berfungsi dikenal pasti sebagai punca gangguan.

Iklan
Iklan

Tinjauan setakat jam 3.30 petang mendapati kebanyakan penumpang tidak menghadapi kesukaran untuk proses mendaftar masuk sementara ada yang langsung tidak menyedari berlaku gangguan sistem kerana proses itu berjalan lancar.

Menurut jurucakap MAHB, gangguan teknikal berlaku di lapangan terbang lain di seluruh dunia, namun KLIA bernasib baik kerana terus beroperasi tanpa ditutup.

Iklan

"Mereka (kakitangan MAHB) telah menunjukkan semangat berpasukan yang baik dalam menangani keadaan. Situasi di (KLIA) tidak begitu buruk, operasi masih berjalan dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Sambil memberi contoh beberapa insiden lapangan terbang ditutup kerana masalah teknikal atau mogok, beliau berkata, Lapangan Terbang Heathrow pada 2018 telah menghentikan berpuluh-puluh penerbangan disebabkan isu teknikal, dan juga pada 2013, berlaku kelewatan penerbangan di seluruh United Kingdom dan Ireland kerana kesilapan pusat kawalan udara.

Iklan

Seorang penumpang, Linda Khoo, 40, berkata, dia berpuas hati debngan cara MAHB menangani insiden tersebut sambil menambah kakitangan di KLIA sangat membantu kerana mereka berusaha sebaik mungkin untuk membantu penumpang yang terlepas penerbangan kerana kelewatan penerbangan dari destinasi lain.

"Saya sepatutnya menaiki penerbangan ke Bangkok malam tadi pada jam 10.35 malam. Akibat masalah teknikal, saya terlepas penerbangan. Jadi (MAS) menyediakan bilik untuk saya. Jadual penerbangan saya ialah pada 9 pagi hari ini tetapi ditunda hingga 10 pagi," kata Linda, yang merupakan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang berpangkalan di Bangkok.

Seorang lagi penumpang, Yazid Dato Mohamed, 50, berkata, dia tahu mengenai gangguan sistem dan berasa lega pengendali lapangan terbang berjaya mengatasi masalah itu.

"Jadual penerbangan saya ke Johor Bahru sepatutnya kira-kira jam 3.30 petang tetapi kini ditunda hingga 4.30 petang, ia tidak terlalu buruk. Proses daftar masuk berjalan lancar dan saya rasa semuanya (sistem) kembali seperti biasa," katanya.

Airport Care Ambassadors Malaysia Airport Raja Intan Umairah Raja Ikram (kanan) memberi minuman panas kopi dan teh kepada para penumpang sehingga 10 pagi tadi di KLIA berikutan gangguan sistem yang semakin beransur pulih. - Foto BERNAMA

Norsiah Syahruddin, 27, berkata, dia dan ibunya terpaksa datang ke KLIA lima jam lebih awal kerana terbaca berita tentang gangguan sistem.

"Penerbangan saya dengan Malindo Air ke Kota Kinabalu sepatutnya 2.15 tengah hari tetapi saya dah sampai sini jam 8 pagi.

"Risau jugak dengan sistem tergendala kerana tidak tak tahu apa akan terjadi. Jadi kita terpaksa datang awal. Bila sampai dapat status terkini penerbangan ditunda ke 3 petang," katanya yang menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru, sejak 20 Ogos.

Chris Anns, 60, berkata, dia diberitahu mengenai gangguan sistem, bagaimanapun, dia tidak menghadapi sebarang masalah di kaunter daftar masuk.

"Semuanya lancar dan penerbangan saya tidak ditunda," katanya.

Dia sedang dalam transit dari Vietnam ke Perth.

Sejak gangguan sistem itu bermula, kakitangan MAHB telah bekerja lebih dari 12 jam untuk memastikan kelancaran trafik dan membantu penumpang.

Gangguan sistem itu menyebabkan kegagalan beberapa sistem berfungsi termasuk Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk, Sistem Pengendalian Bagasi (BHS), sambungan wifi dan juga sistem kad kredit di kedai runcit serta kedai makanan dan minuman.

Pada jam 3.30 petang, Duta Airport CARE mengedarkan makan tengah hari dan minuman yang dibungkus kepada penumpang untuk menjaga kebajikan mereka.

Gangguan teknikal itu dilaporkan adalah aduan utama yang pertama di KLIA sejak dibuka pada Jun 1998. Sebelumnya, gangguan operasi di lapangan terbang antarabangsa itu adalah disebabkan gangguan bekalan elektrik yang mengakibatkan seluruh KLIA bergelap dan berlaku kelewatan enam penerbangan pada September 2003. - Bernama