YPKDT lantik pegawai di setiap DUN bantu masalah wanita

Iklan
Cai Tung (dua, kiri) menyampaikan cenderahati kepada wakil NGO yang terlibat dalam program tersebut.

JOHOR BAHRU - Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) akan melantik seorang pegawai wanita untuk ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu mana-mana wanita yang berdepan masalah kekeluargaan.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, perkara itu dalam tindakan pihaknya bagi memastikan semua wanita mendapat bantuan sewajarnya.

Iklan
Iklan

"Saya berharap dengan lantikan ini pegawai wanita tersebut akan bergerak dalam kawasan dengan kerjasama NGO dan kerajaan negeri untuk memberi kaunseling, bantuan atau merujuk kes ke agensi yang sesuai," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Hak Anda Dalam Perundangan Syariah di sini, hari ini.

Menurutnya, masyarakat sekeliling juga perlu prihatin bagi mengurangkan statistik kes bunuh diri melibatkan wanita yang mempunyai masalah keluarga.

Iklan

"Kami sangat mengalu-alukan setiap NGO dan sesiapa sahaja membantu supaya dapat memberi mereka (wanita) satu saluran sekaligus menurunkan statistik mereka yang tidak tahu ke mana dan akhirnya memilih untuk membunuh diri," katanya.

Selain itu, katanya, Gabungan NGO Wanita Johor diwujudkan dalam usaha menjalinkan kerjasama antara semua NGO dengan kerajaan negeri bagi mengenalpasti dan membantu wanita bermasalah.

Iklan

"Gabungan NGO Wanita Johor ini merupakan gabungan pertama di seluruh Malaysia. Gabungan ini diwujudkan supaya wanita dapat menjalankan aktiviti bersama dan sampaikan mesej kepada semua peringkat masyarakat kerana segala masalah sosial tidak mampu hanya kerajaan yang buat.

"Kita perlukan bantuan pelbagai pihak, dengan kerjasama ini barulah kita boleh bantu mereka sebab bukan semua yang bermasalah akan merujuk kerajaan terus.

"Kami nak beritahu setiap wanita, hak anda sangat penting. Kita mesti mempertahankan hak sendiri. Tiada sesiapa boleh bantu sekiranya anda tidak meluahkan perasaan sendiri jadi jangan malu, jangan segan," katanya

Beliau turut mengingatkan mana-mana wanita untuk menghubungi talian Kasih 15999 atau helpline YPKDT untuk mengadu atau meminta bantuan.