JOHOR BAHRU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor, Mazlan Bujang tampil membuat laporan polis berhubung tuduhan mengugut seorang penjawat awam untuk tidak menutup kilang yang dipercayai terbabit dengan kejadian pencemaran di Pasir Gudang baru-baru ini.
Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Bandar Dato Onn, di sini kira-kira jam 5.30 petang tadi selain turut memberikan keterangan berhubung kejadian sebenar yang berlaku.
"Tujuan saya buat laporan ini adalah untuk menyatakan perkara sebenar. Perkara ini tidak ada kena mengena dengan kilang dan suara saya adalah untuk membantu pengusaha kecil yang terjejas di kawasan Kampung Pasir Putih.
"Saya bercakap untuk meminta pihak berkuasa membolehkan semula peniaga terdiri daripada pengusaha stor barangan lusuh, bengkel kereta dan kedai mencuci kenderaan yang ditutup ketika penguatkuasaan isu pencemaran yang lalu.
"Ini bukan kilang malah pengusaha ini pun bukan orang kaya, bila tutup tanpa sebab mereka hilang punca pendapatan, mereka ini ada tanggungjawab kepada keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Dakwaan dikeluarkan sebuah kumpulan dalam media sosial Facebook itu turut memaparkan satu laporan polis dipercayai dibuat oleh pengadu bersama rakaman suara Mazlan.
Berhubung perkara itu, Mazlan berkata, beliau juga tidak tergugat dengan rakaman suara yang ditularkan kerana tidak mempunyai bukti kukuh mengaitkannya dengan dakwaan itu.
"Sesiapa yang dengar rakaman itu boleh nampak saya tidak buat apa-apa, saya hanya menghubungi pihak ini untuk menyelesaikan masalah pengusaha kecil ini.
"Dalam rakaman itu pun saya bercakap dengan orang yang saya telah kenal lebih 20 tahun lalu, berbual dan bergurau selain tiada sedikit pun nada seperti memberi arahan apatah lagi mengugut,” katanya.
Ditanya adakah beliau akan mengambil tindakan ke atas individu yang berbual dengannya dalam rakaman suara terbabit, Mazlan berkata, beliau bukan sekejam itu.
"Saya dah kenal lama dengan dia, malah sekarang pun dia sudah tidak duduk diam di rumah, ini adalah kerja pihak tertentu untuk menjatuhkan saya.
"Kita ambil ini sebagai cabaran, Tun Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) hari-hari dikritik pun masih boleh menjalankan tugas malah tidak ada mengambil apa-apa tindakan pun,” katanya.