SHAH ALAM - Hubungan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan penceramah bebas, Dr Zakir Naik sudah pulih.
Syed Saddiq dalam hantaran Facebooknya hari ini memuat naik beberapa foto beliau duduk semeja bersama pendakwah itu selepas beberapa hari Ahli Parlimen Muar itu menggesa supaya Zakir dihantar pulang susulan ucapan kontroversinya baru-baru ini.
Bagaimanapun, gesaan beliau itu mendapat kecaman di kalangan pengguna media sosial Melayu Islam selain penyokong serta ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam hantaran itu juga, Syed Saddiq meminta agar semua pihak tidak lagi mengeruhkan keadaan.
"Tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang bebas dari melakukan kesilapan. Dr Zakir Naik sudah minta maaf.
"Saya sendiri banyak kali lakukan kesilapan dan kena berlapang dada bila ditegur. Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi. Tidak perlu nak menghina dan mencaci.
"Let’s move on. Negara ini perlukan penyembuhan. Setiap bangsa, ada sumbangannya yang tersendiri. Mereka merupakan rakyat Malaysia, sama seperti saya. Mari kita terus mengikat masa depan kita bersama,” katanya.
Isu Zakir Naik menjadi kontroversi susulan kenyataannya ketika berceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu apabila mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, penceramah itu telah memohon maaf serta menafikan semua tuduhan terhadapnya dan mendakwa kenyataannya mengenai orang Cina dan India rakyat Malaysia telah dipetik di luar konteks ucapannya.