Jabat gesa kerajaan tegas tangani isu agama

Iklan
Sebahagian ahli Jabat pada pada sesi Sinar Live hari ini.

IPOH - Kerajaan digesa bertindak tegas berhubung pelbagai isu khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Presiden Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat), Amiruddin Mohd Daud berkata, sekiranya langkah menangani isu tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya, ia dikhuatiri mendatangkan ketidakstabilan khususnya dalam tadbir urus negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu-isu berkenaan yang berlaku sejak kebelakangan ini diakui telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

"Kita mahu kerajaan lebih tegas menangani isu-isu hangat hari ini. Baru-baru ini, kita dimomokkan pula dengan ura-ura untuk menghalau pendakwah, Dr Zakir Naik.

Iklan

"Kami, rakyat Perak bertegas akan berdiri teguh di belakang Mufti Perak yang mengatakan tidak ada keperluan langsung terhadap usaha berkenaan (mengusir Zakir dari negara ini)," katanya pada sesi Sinar Live hari ini.

Hadir sama, wakil daripada 50 badan bukan kerajaan (NGO) dari sekitar negeri.

Iklan

Mengulas lanjut, Amiruddin tidak menolak cadangan mengusir pendakwah berasal dari India itu dilihat sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap beberapa isu.

Katanya, antara isu yang cuba dialihkan adalah isu penghinaan terhadap anggota tentera oleh seorang ahli perniagaan.

"Menteri Pertahanan pula beria-ia mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang hina ATM adalah musuh negara. Oleh itu, kenapa ahli perniagaan itu masih belum ditahan? Kenapa masih berada di luar? Di situ kita rasa banyak berlaku 'double standard' di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Jabat, Hazli Halim kesal dengan isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik beberapa hari lalu.

Katanya, perbuatan sedemikian dilihat sebagai satu perbuatan menghina dan kesal dengan kenyataan seorang Exco Kerajaan Perak yang mengatakan pemasangan bendera secara terbalik tidak salah.

"Dia kena muhasabah diri sebab dia Melayu, beragama Islam dan anak Malaysia. Tak sepatutnya cakap begitu, apatah lagi dia juga seorang pengamal undang-undang.

"Jadi, kita minta perhatian daripada pihak berwajib untuk menggantung jawatan dia selaku Exco kerana tidak menghormati Malaysia,” katanya.

Timbalan Pengerusi Jabat, Mohd Shirn Adenan berkata, pihaknya akan menyediakan memorandum serta kertas kerja berhubung larangan menggunakan tulisan jawi oleh bukan Islam di negara ini.

Katanya, tulisan jawi hanya akan dibenarkan kepada produk-produk hasil keluaran orang Islam semata-mata.

"Kita akan sediakan memorandum agar hanya setiap barangan orang Islam sahaja yang berhak menggunakan tulisan jawi. Bukan Islam tak boleh guna tulisan jawi,” katanya.