Tanjak Jalur Gemilang dapat permintaan tinggi

Iklan
Pengarang Tanjak Mohd Zaim Hakimi Mohamad Zin, 25, menunjukkan tanjak yang dibuat menggunakan kain bercorak Jalur Gemilang yang ditempah oleh pelanggannya untuk digayakan sempena menyambut Hari Kebangsaan Ke-62 pada 31 Ogos nanti ketika ditemui di kediamannya di Puncak Alam Shah Alam. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Tanjak atau tengkolok kini mula mendapat tempat di hati generasi muda dan tidak lagi dilihat sebagai aksesori eksklusif untuk digayakan semasa bersanding atau pakaian kebesaran raja-raja Melayu.

Tanjak kini bukan sahaja dipakai pada majlis keraian, malah ada yang memakainya bersiar-siar terutamanya pada hari istimewa seperti hari raya dan Hari Kebangsaan.

Iklan
Iklan

Bagi seorang pengarang Tanjak, Mohd Zaim Hakimi Mohamad Zin, 25, dia berjaya menjual kira-kira 30 tanjak kepada pelanggan yang mahukan tanjak berinspirasikan bendera Malaysia untuk digayakan pada Hari Kebangsaan.

Menurut anak muda yang berasal dari Merbok, Kedah itu, idea untuk menjual tanjak berinspirasikan bendera Malaysia itu tercetus selepas beliau melihat banyak pengeluar tudung mengeluarkan motif yang sama menjelang Hari Kebangsaan.

Iklan

"Pada tahun-tahun sebelum ini, saya guna bendera Malaysia untuk dilipat menjadi tanjak tetapi kainnya tidak sesuai, jadi tahun ini saya gunakan kain yang khas yang lebih keras dan mempunyai corak bendera Malaysia dan Alhamdullilah sambutan amat baik.

"Sehingga hari ini sudah kira-kira 30 tanjak bermotif Jalur Gemilang telah dijual," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Iklan

Mohd Zaim Hakimi berkata, minatnya terhadap aksesori kepala tradisional Melayu itu timbul semasa beliau di bangku sekolah lagi dan ia berkembang semasa beliau menuntut di UiTM.

"Saya juga ada pergi kursus dan belajar dengan pengarang tanjak yang berpengalaman di Perak, Kedah dan Selangor untuk menimba ilmu berkaitan kaedah ikatan dan lipatan tanjak.

"Saya mula menjual tanjak sejak awal tahun ini selepas menerima banyak tempahan dari rakan-rakan dan sebanyak 1,000 tanjak yang berharga antara RM69 hingga RM300 sudah berjaya dijual," katanya.

Menurutnya, generasi muda perlu belajar dan memakai tanjak kerana ia warisan Melayu yang sesuai untuk digayakan bukan hanya dengan pakaian tradisional malah dengan busana moden.

Seorang lagi pengarang tanjak, Mohd Nur Hadi Zainudin, 34, berkata, beliau memilih menggunakan renda bercorak ditempah khas dan tudung bawal bermotif bendera negara sebagai bahan utama penghasilan tanjak.

Mengakui tidak selesa menggunakan Jalur Gemilang untuk menghsilkan tanjak walaupun cara itu lebih mudah, Mohd Nur Hadi mencari alternatif lain termasuk pernah mencantumkan kain berwarna merah, biru, putih dan kuning.

Bagaimanapun, katanya cara itu 'agak renyah' menyebabkan dia akhirnya beralih menggunakan tudung bawal bermotif Jalur Gemilang selain menempah renda bernilai RM150 bagi 138 meter.

"Saya tidak akan menggunakan bendera sebenar kerana berasa salah apabila perlu memotong bendera bagi mendapatkan bentuk dan corak yang diingini. Ini pendirian saya, lain orang mungkin lain caranya," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Pandan, Pekan.

Mohd Nur Hadi berkata, dia menerima 100 tempahan tanjak dengan tema Jalur Gemilang tahun ini daripada beberapa jabatan kerajaan untuk digunakan pada sambutan Hari Kebangsaan.

"Saya belajar mengarang tanjak pada tahun lalu dan berkebolehan menghasilkan hampir 30 jenis tanjak. Tempahan yang diterima melibatkan tanjak jenis 'Mahkota Alam' dan 'Ayam Patah Kepak'.

"Mengarang tanjak memerlukan kesabaran dan ketelitian. Kira-kira 15 minit diperlukan untuk menyiapkan satu tanjak bergantung kepada material kain dan kerumitan ikatan tanjak yang ditempah," katanya.

Menurutnya, perusahaan tanjak dilakukan sepenuh masa dan purata menerima 10 tempahan setiap bulan dengan setiap satu dijual pada harga antara RM50 hingga RM120.

"Tempahan meningkat ketika musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha selain sempena sambutan Hari Kebangsaan," katanya. - Bernama