Dulu penenun songket kini usahawan keropok

Iklan
Fatimah (tengah) memulakan perniagaan dengan menghasilkan keropok keping dalam jumlah agak terhad.

MARANG - Dua dekad lalu Fatimah Muda, 62, hanya mengambil upah menenun songket sementara suami, Sulong Awang, 67, memerah keringat berhujan dan berpanas sebagai tukang rumah.

Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, ada ketika mereka tiada langsung pendapatan dan terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan.

Iklan
Iklan

Dalam kepayahan suami mencari sesuap nasi untuk keluarga, wanita itu sibuk dengan urusan keluarga sambil menyiapkan tempahan yang diterima daripada pemilik gedung menjual songket.

Nasib mereka berubah selepas Fatimah memulakan perniagaan memproses keropok keping walaupun hanya mampu menghasilkan keropok keping dalam jumlah agak terhad ketika itu.

Iklan

Namun selepas tujuh tahun, Fatimah atau Kak Mek berjaya mengubah hidup keluarganya daripada sebuah keluarga bergantung kepada upah menenun songket kepada sebuah keluarga usahawan.

Produk hasil makanan laut yang dihasilkan mendapat sambutan. Sejak itu Fatimah tidak menoleh ke belakang lagi dan mengembangkan perniagaannya walaupun tanpa mendapat pinjaman kewangan.

Iklan

"Pekerja pun bukan orang lain, adik-beradik serta ahli keluarga sahaja. Bekerja seperti ini adalah lebih mudah kerana kami lebih memahami tugas masing-masing malah pendapatan dikongsi bersama.

Hasil kegigihan pengusaha keropok keping di Pengkalan Setar, kampung itu kini terkenal sebagai pusat pengeluar keropok keping terbesar di Terengganu.

"Kami bekerja selama dua hari untuk mengeluarkan lebuh kurang 100 kilogram keropok dari menyiang ikan, mengukus serta mengadun sebelum dapat menghiris dan menghasilkan keropok keping.

"Keropok keping siap dihiris itu kemudiannya dijemur sehingga kering dan disimpan sebelum proses pembungkusan dilakukan,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Setar di sini, semalam.

Hasil kegigihan Fatimah dan lebih 30 pengusaha lain, Pengkalan Setar yang satu waktu dahulu hanya sebuah kampung kecil kini terkenal sebagai pusat pengeluar keropok keping terbesar di Terengganu.

Fatimah berkata, pengeluar keropok keping di kampung itu juga sentiasa mengawal mutu dan kebersihan hasil keluaran bagi memastikan kampung itu kekal sebagai pusat pengeluar keropok keping terbaik.

"Namun bagi pengusaha seperti makcik, kami hanya mampu menghasilkan kira-kira 100 kilogram keropok keping dalam tempoh dua hari dan setiap kilogram dijual pada harga sekitar RM20 sekilogram.

"Bagi pengusaha besar, mereka mampu menghasilkan 100 kilogram dalam tempoh sehari sahaja. Bagi makcik dan keluarga pengeluaran sekarang sudah cukup tampung belanja keluarga,” kata 10 anak itu.

Katanya, bagi memastikan pengeluaran mereka tidak tergendala kebanyakan pengusaha memperoleh bekalan ikan tamban dari dalam dan luar Terengganu kecuali pada musim tengkujuh.

Ditanya mengenai pendapatan, katanya, pulangan lumayan diperoleh ketika musim cuti persekolahan dan musim perayaan apabila Fatimah mampu menjual lebih 40 kilogram keropok keping bersamaan RM800 sehari.