KUANTAN - Gara-gara termakan pujukan seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM), seorang pesara kerugian lebih RM67,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 69 tahun itu menerima panggilan melalui telefon rumah daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai TM, 19 Ogos lalu.
"Suspek memaklumkan kepada mangsa yang dia daripada TM yang ingin memotong talian mangsa tetapi mangsa menafikan nombor tersebut bukan miliknya.
"Suspek dikatakan menyambung panggilan kepada seorang lagi suspek bernama Inspektor Yong yang dikatakan anggota polis,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, lelaki mengaku pegawai polis itu memberitahu mangsa perlu memasukkan duit untuk dihantar ke bank negara untuk disemak sama ada akaun mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan perjudian.
"Mangsa sekali lagi disambungkan kepada pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Mokhtar dan Koperal Mazlan sebelum meminta mangsa memindahkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes itu.
"Mereka menggertak mangsa akan dipenjarakan untuk beberapa tahun jika tidak membayarkan dan berjanji wang tersebut akan dipulangkan dalam masa satu minggu untuk siasatan pihak polis," katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa yang juga bekas pekerja Pos Malaysia membuat transaksi beberapa kali ke dua akaun diberikan suspek berjumlah RM67,000.
"Semalam, mangsa memberitahu kejadian itu kepada anaknya dan mereka membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh selepas mengesyaki mangsa ditipu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan nombor digunakan suspek serta pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes berkenaan,” katanya.