Pulau Pinang, Perak terpaksa kongsi mata

Iklan
Pemain pasukan Pulau Pinang Julian Bottaro (kiri) diasak oleh pemain pasukan Perak Nairul Naim Che Hashim pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya malam ini. - Foto Bernama

GEORGETOWN - Pasukan Pulau Pinang terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata berharga dengan Perak apabila hanya sekadar seri 1-1 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya malam tadi.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata, pasukannya turun dengan misi untuk mengutip tiga mata penuh bermain di laman sendiri namun pasukan Perak memberikan tentangan hebat.

Iklan
Iklan

"Juara Piala Malaysia tahun lepas, Perak merupakan satu pasukan yang berpengalaman dan mempunyai ramai pemain kebangsaan. Saya bersyukur dan pujian harus diberikan kepada pemain-pemain yang berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurang satu mata," katanya selepas pelawanan malam tadi.

Kedua-dua pasukan itu kini mempunyai jumlah mata sama iaitu lima mata selepas empat pelawanan di mana skuad Bos Gaurus menduduki tempat kedua manakala Harimau Kumbang menduduki tangga ketiga dengan perbezaan jumlah jaringan gol.

Iklan

Manzoor berkata, kehilangan pemain import Argentina Sergio Aguero akibat kutipan tiga kad kuning dalam saingan Piala Malaysia 2019, amat dirasai pasukannya dan corak pemain terpaksa di ubah untuk disesuaikan dengan pemain.

"Mungkin kalau Aguero ada dia dapat melakukan sesuatu untuk mencipta atau menjaringkan gol untuk pasukan Pulau Pinang," katanya.

Iklan

Sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup, Perak yang bermula dengan agak baik menguasai pelawanan dan sering mencipta peluang untuk menguji kekentalan pertahanan skuad Harimau Kumbang dipimpin ketua pasukan Kang Seung-jo.

Namun kedua-dua pasukan gagal menghasilkan gol sehingga babak pertama tamat dan sejurus bermulanya separuh masa kedua, tuan rumah berjaya mencipta gol pertama menerusi rembatan kencang Muhammad Nurfais Johari selepas menerima hantaran cantik daripada Julian Bottaro dalam petak penalti pada minit ke 48.

Gol pertama Pulau Pinang seakan-akan membangkitkan pemain Perak yang mula mengatur serangan bertubi-tubi ke gawang tuan rumah dan pada minit ke 60 percubaan skuad Bos Gaurus berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi Leandro Dos Santos Oliveira.

Diminta untuk mengulas mengenai pelawanan itu, jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata, pasukannya mampu menjaringkan lebih daripada satu gol sekiranya pemainnya mengambil peluang yang dicipta.

"Namun bertemu Pulau Pinang di hadapan lebih kurang 6,000 penyokong bukan satu perkara yang mudah dan saya berpuas hati dengan keputusan malam ini walaupun banyak percubaan dicipta dan hanya satu gol dihasilkan," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi pelawanan kumpulan C, Pahang berjaya menempah tiket ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan Sabah 1-0 di Stadium Darul Makmur.

Skuad Harimau Kumbang akan bertandang ke Stadium Likas di Kota Kinabalu untuk bertemu Sabah Rhinos manakala The Bos Gaurus akan menerima kunjungan skuad Tok Gajah pada 14 September ini. - Bernama