Isteri maut, suami dan anak cedera

Iklan
Kemalangan tersebut menyebabkan seorang wanita maut manakala suami dan dua lagi anaknya mengalami kecederaan di Kilometer 132.5 Jalan Kuantan - Segamat, semalam.

KUANTAN - Seorang wanita maut manakala suami dan dua lagi anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka kemalangan di Kilometer 132.5 Jalan Kuantan - Segamat, di sini semalam

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Rosnani Hasan, 47, penumpang hadapan kereta jenis Perodua Viva maut di tempat kejadian manakala suaminya, Imran Bin Rosli, 44, yang memandu kereta cedera parah.

Iklan
Iklan

Dua anak mereka, Iman Idzham Imran, 12, dan Iman Idzly Imran, 8, yang juga penumpang belakang turut cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang wanita dari arah Kuantan ke Segamat memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Viva dinaiki empat beranak itu.

Iklan

"Setibanya di tempat kejadian, Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 22 tahun tidak sempat memotong kenderaan yang berada di hadapannya sebelum bertembung dengan kereta Viva.

"Kejadian itu menyebabkan isteri kepada pemandu Viva yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut," katanya.

Iklan
Kemalangan tersebut menyebabkan seorang wanita maut manakala suami dan dua lagi anaknya mengalami kecederaan di Kilometer 132.5 Jalan Kuantan - Segamat, semalam.

Kamarulzaman berkata, Imran yang cedera di kepala dan Iman Idzly patah kaki serta Iman Idzham yang hanya cedera ringan kini menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah manakala pemandu Toyota Vios tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang lelaki yang menunggang motosikal maut selepas merempuh papan tanda di Kilometer 50 Jalan Ibam - Rompin, di sini pagi tadi.

Menurutnya, dalam kejadian jam 4 pagi, Wai Rosdi, 16, meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Norma Jamal, 23, yang juga pembonceng mengalami cedera dan kini dirawat di Hospital Rompin.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Sawah tidak memiliki lesen motosikal dan mangsa disyaki menunggang dalam keadaan laju sebelum terbabas di bahu jalan dan melanggar papan tanda amaran.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin bagi proses bedah siasat yang akan dilakukan pada hari ini,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.