BIARRITZ - Beberapa pemimpin terkenal dunia kini berada di Perancis sempena Sidang G7, satu pertemuan yang disifatkan Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU), Donald Tusk sebagai ujian sukar terhadap kesatuan dan solidariti berikutan perbalahan berhubung pelbagai isu termasuk perdagangan dan perubahan iklim.
Perhimpunan tahunan negara G7 terdiri dari Britain, Kanada, Jerman, Itali, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis itu bermula semalam di bandar Biarritz.
Sidang kemuncak tiga hari itu berlangsung di tengah-tengah perang perdagangan yang semakin meningkat antara AS dan China, pelan Brexit Britain yang tertangguh, ketegangan antara AS dan Iran berhubung program nuklear Teheran dan kebimbangan global berkaitan kebakaran hutan hujan Amazon di Brazil.
"Situasi semakin sukar buat kita semua untuk mencari persamaan dan dunia memerlukan lebih banyak kerjasama dari kita.
"Ini merupakan momen terakhir bagi memulihkan komuniti politik kita," kata Tusk sebelum persidangan.
Hos sidang G7 tahun ini, Presiden Emmanuel Macron berkata, beliau mahu ketua negara G7 memberi tumpuan kepada pembelaan demokrasi, kesamaan jantina, pendidikan dan alam sekitar.
Macron turut menjemput pemimpin negara Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk menyertai mereka berhubung isu berkenaan.
Bercakap dalam siaran televisyen sebelum persidangan, Macron berkata beliau berharap dapat mencapai persefahaman dengan Presiden AS, Donald Trump yang meninggalkan Sidang G7 tahun lalu di Kanada dan menolak kenyataan bersama yang dipersetujui anggota lain.
Sementara itu, dianggarkan 9,000 penunjuk perasan berhimpun di Hendaye, kira-kira 35 kilometer dari Biarritz, bagi mendesak kebertanggungjawapan terhadap pelbagai isu termasuk alam sekitar, globalisasi, hak penduduk Palestin dan kemerdekaan Basque di Sepanyol.
Wakil gerakan 'ves kuning' yang bermula di Perancis pada November tahun lalu bagi membantah cukai kerajaan ke atas bahan api turut mengadakan demonstrasi menentang ketidaksamaan.
"Pemimpin terkemuka kapitalis berada di sini dan kita harus menunjukkan kepada mereka bahawa perjuangan masih diteruskan.
"Golongan kaya semakin kaya dan yang miskin terus miskin.Kami melihat kebakaran hutan Amazon dan pencairan Artik. Pemimpin berkenaan akan mendengar suara kami," kata seorang penunjuk perasaan ves kuning, Alain Missana, 48, kepada Reuters.
Sementara itu, di bandar Bayonne, pihak polis menembak meriam air dan gas pemedih mata ke arah kira-kira 400 penunjuk perasaan antikapitalis selepas segelintir mereka membaling batu, selain insiden terbabit, protes berjalan aman.
Perancis dilaporkan mengerahkan lebih 13,000 anggota polis yang disokong pasukan tentera bagi mengawal lokasi persidangan. - Al Jazeera