Sambut baik Mahkamah Syariah tadbir pembahagian harta pusaka

Iklan
Mujahid (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada 40 golongan asnaf sekitar kawasan Parlimen Parit Buntar sempena Program Kayuhan Merdeka di Parit Buntar pagi tadi.

PARIT BUNTAR - Kerajaan menyambut baik cadangan supaya enakmen pentadbiran serta pembahagian harta pusaka negeri-negeri dipinda dan diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, cadangan dikemukakan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) disokong pihaknya kerana dilihat bertepatan dengan keperluan orang Islam di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya sedia maklum isu membabitkan harta pusaka atau faraid hanya diamalkan orang Islam dan merupakan antara tuntutan agama harus dipenuhi mereka.

"Bagaimanapun apabila urusan harta pusaka hendak dituntut pewarisnya, tuntutan itu perlu difailkan di Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah dan senario ini sebenarnya mendatangkan sedikit keresahan dalam kalangan orang Islam.

Iklan

"Sebaiknya apabila sesuatu perkara itu dikhususkan kepada orang Islam maka bidang kuasa pentadbiran serta pembahagian harta pusaka adalah lebih mudah diletakkan di bawah Mahkamah Syariah," katanya kepada media dalam Program Kayuhan Rahmah Merdeka dan Pelancaran Kelab Berbasikal Kerian di Dewan Terbuka Bagan Tiang di sini hari ini.

Mujahid berkata, pihaknya bersedia berjumpa dengan wakil persatuan peguam terbabit pada bila-bila masa bagi membincangkan saranan bersesuaian kepada Jabatan Agama Islam Negeri memandangkan ianya melibatkan pindaan enakmen di negeri masing-masing kecuali Sabah.

Iklan

Menurutnya, beliau akan sentiasa menyokong sekiranya cadangan itu baik untuk membantu melaksanakan reformasi pentadbiran agama Islam dan ujud keperluan yang tidak melibatkan sebarang pertindihan atau kekangan undang-undang.

"Mengambil contoh pelaksanaan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah, ianya dibuat kerana timbul percanggahan kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil menyebabkan golongan lelaki culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

"Perkara sama juga turut berlaku dalam isu pembahagian harta pusaka bagi orang Islam kerana ada keputusan pembahagian harta secara faraid diputuskan Hakim Mahkamah Syariah, namun ianya tidak terpakai kerana keputusan Mahkamah Syariah tidak terikat dengan bidang kuasa Mahkamah Sivil.

"Sekiranya cadangan enakmen berkaitan isu pembahagian harta pusaka dipinda di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja dan memberi kebaikan kepada orang Islam, saya kira ianya wajar dilaksanakan," katanya.

23 Ogos lalu, media tempatan melaporkan cadangan PPMM supaya negeri-negeri meminda enakmen pentadbiran berhubung pembahagian harta pusaka bagi orang Islam.

Perkara itu bagi membolehkan kes berkaitan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka orang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja.

Ketika ini, semua negeri kecuali Sabah memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya mempunyai hak menentukan pembahagian harta pusaka kepada waris manakala isu berkaitan pentadbiran harta pusaka bagi orang Islam hanya boleh diputuskan Mahkamah Sivil.