WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), semalam mengancam mahu menutup seluruh sempadan AS dengan Mexico jika Senat enggan menunaikan permintaannya berhubung dana AS$5 bilion (RM21 bilion) untuk pembiayaan tembok tersebut.
"Kami terpaksa menutup sempadan selatan jika Demokrat masih berkeras tidak mahu berikan dana untuk menyelesaikan projek pembinaan tembok tersebut dan mengubah undang-undang imigresen yang tidak masuk akal," kata jutawan hartanah tersebut menerusi Twitter.
Iklan
Iklan
Trump membuat ugutan itu selepas penutupan separa kerajaan persekutuan yang dijangka berterusan hingga minggu depan berikutan Senat gagal untuk mencapai kesepakatan tentang dana tembok kontroversi diminta pemimpin tersebut.
Bulan lalu, Trump pernah mengugut untuk menutup 'seluruh sempadan' dengan Mexico jika ia sudah mencapai tahap tidak terkawal dan mengancam keselamatan rakyat AS.
Beberapa hari kemudian, pihak berkuasa bertindak menutup lintasan sempadan di selatan California selepas ratusan migran menaiki karavan cuba untuk merempuh pagar dari bandar Tijuana.
Penutupan sementara itu juga menyaksikan sekatan terhadap kenderaan dan pejalan kaki di lintasan San Ysidro yang merupakan salah satu laluan paling sibuk antara kedua-dua negara terbabit. - AFP
Artikel Berkaitan