SEREMBAN - Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) berperanan sebagai pusat sehenti bagi menyelaras aktiviti pemerkasaan mahasiswa di Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pusat yang berada di bawah seliaan Pejabat Exco Belia dan Sukan itu diwujudkan bagi memastikan mahasiswa diperkasa selain menjadi platform terbaik meningkatkan keterampilan sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Iklan
Iklan
"Terdapat lima kluster Tabah iaitu pendidikan, kemahiran, kerjaya, sukarelawan dan penyelidikan yang juga amat signifikan dengan pemberdayaan mahasiswa dalam melahirkan mahasiswa lebih cemerlang dan unggul," katanya pada Himpunan Mahasiswa Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.
Sementara itu, Taufek berkata, Tabah yang juga cetusan idea Aminuddin mula dilaksanakan pada bulan ini dan Himpunan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan adalah program pertama yang dianjurkan Tabah.
"Saya yakin Tabah akan menjadi platform terbaik untuk mahasiswa bersama dengan kerajaan negeri membangunkan belia dan mahasiswa demi masa depan yang lebih baik.
"Sewajarnya anak-anak negeri Sembilan sama ada mahasiswa atau belia menjadikan Tabah sebagai platform terbaik bagi mereka dan kita berlapang dada menerima sebarang idea dan teguran dan apa jua pandangan terhadap pembangunan belia dan mahasiswa di negeri ini," katanya. - Bernama