JITRA - Seorang lelaki cedera parah selepas dihempap dahan pokok akibat kejadian angin kencang di persimpangan lampu isyarat Jitra-Kodiang berdekatan balai polis lama Jitra, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi ketika mangsa, Abdul Halim Mat Isa, 47, yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dari arah Pekan Jitra menghala ke bulatan Jitra.
Katanya, ketika sampai di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dihempap dahan berkenaan dari sebelah kiri jalan.
"Dahan pokok itu dipercayai patah akibat angin kencang yang turut disusuli hujan di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Pekan, Mukim Kubang Rotan itu dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohd Bustan Karudin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 100 meter dari balai bomba itu membolehkan bantuan segera diberikan untuk membantu mangsa.