TANAH MERAH - Nasib pasangan buta yang tinggal dalam kediaman usang di Kampung Kuang, Bukit Panau di sini akhirnya mendapat perhatian apabila sebuah kediaman baharu hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NG0) akan dibina dalam masa terdekat.
Ketua keluarga terbabit, Mohamad Rozaman Yakob, 54, berkata, dia amat bersyukur atas sumbangan itu dan berharap kehidupannya dengan isteri, Zaiton Hamid, 35, lebih baik selepas ini.
"Kediaman yang kami huni sebelum ini adalah peninggalan keluarga yang sudahpun berusia lebih 30 tahun. Banyak kayu yang reput dan rosak dimakan anai-anai.
"Tapi kami masih tinggal di situ sehinggalah pada satu masa kami terpaksa berpindah kerana binaan kayunya tidak lagi kuat dan mula roboh. Risau keselamatan kami berdua, jadi saya tumpang tinggal di rumah kakak,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, rumah baharunya itu akan dibina pada bila-bila masa melalui hasil sumbangan Pertubuhan Bantuan Islam Kuala Lumpur.
Saya harap rumah baru nanti saya dapat uruskan keluarga dengan baik walau tak dapat melihat macam orang normal yang lain,” katanya.