SHAH ALAM - Elakkan politiking keterlaluan dan tumpukan kepada kerja bagi memastikan hasrat serta impian rakyat tercapai, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, ada agenda reformasi yang perlu diketengahkan jika mahu mengekalkan mandat pentadbiran sehingga pilihan raya akan datang.
"Ada proses reform yang perlu dibuat, kena lihat agenda rakyat secara bersungguh-sungguh dan ketengahkan agenda lain seperti kesihatan serta pendidikan yang perlu dilaksanakan.
"Perubahan itu perlu dilakukan supaya mandat itu dapat dikekalkan sampai pilihan raya akan datang," katanya selepas hadir Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Selangor di Hotel Carlton Seksyen 13 di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan Timbalannya, Dr Daroyah Alwi.
Dalam mesyuarat itu, Amirudin menjelaskan kerajaan negeri mengangkat peranan wanita melalui dasar kuota sebanyak 30 peratus wanita dalam pentadbiran.
"Kita komited dengan dasar 30 peratus wanita dalam pentadbiran sebagai exco, malah jawatan ahli majlis (pihak berkuasa tempatan) juga hampir mencapai sasaran sama.
"Pada tahun ini, kerajaan negeri turut letak wanita sebagai ketua kampung. Ini permulaan yang baik walaupun angkanya masih rendah tapi usaha ke arah itu telah bermula menunjukkan apa yang disasarkan, kita cuba laksanakan," katanya.