Provokasi baharu Korea Utara?

Iklan
Jong-un (dua dari kiri) meraikan kejayaan ujian pelancaran senjata baharu yang dibangunkan Pyongyang. - Foto AFP

SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menyelia ujian pelancar roket bersaiz besar, menurut media tempatan semalam.

Korea Utara menembak objek yang kelihatan seperti dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke dalam laut di bahagian timur negara, kata tentera Korea Selatan, iaitu yang terbaru dalam siri pelancaran sejak beberapa minggu lalu.

Iklan
Iklan

Perkembangan ini dijangka akan memberi kesan kepada usaha untuk menyambung semula rundingan nyahnuklear yang dipersetujui sebelum ini.

Tentera Seoul memaklumkan Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat itu sebagai tanda protes terhadap latihan ketenteraan bersama dengan Amerika Syarikat yang berakhir minggu lalu.

Iklan

Korean Central News Agency (KCNA) memetik kenyataan Jong-un melaporkan, sistem baharu dibangunkan itu adalah senjata yang hebat dan beliau turut menyatakan penghargaan tinggi terhadap saintis yang mereka peluru berpandu tersebut.

Jelas Jong-un, Korea Utara perlu meneruskan pembangunan senjata untuk menangkis ancaman serangan musuh yang semakin meningkat.

Iklan

Sementara itu, gambar dikeluarkan akhbar Rodong Sinmun menunjukkan Jong-un tersenyum lebar ketika berdiri di hadapan pelancar roket beroda lapan tersebut.

Difahamkan, ujian tersebut adalah yang keempat sejak sidang kemuncak kedua bersama Amerika Syarikat di Hanoi pada Februari lalu. - Agensi