Perluas skop tugasan bomba bantuan

Iklan
Abdul Wahad (kanan) menyampaikan sijil Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan pada Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2018 di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini.
KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang dalam usaha memperluaskan skop tugasan anggota bomba bantuan yang dapat melancarkan operasi ketika dijalankan.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya kini dalam peringkat kajian dan meneliti modul serta penambahan kursus mengikut tugas dan tanggungjawab kepada bomba bantuan yang dijangka akan terlaksana menjelang tahun hadapan

"Skop kerja mereka sebelum ini hanya terhad kepada menghadiri operasi pemadaman kebakaran bersama pasukan bomba sepenuh masa.

"Kini kita sedang melihat keperluan mereka ini perlu diperluaskan, seperti melaksanakan tugas-tugas selain pemadaman kebakaran antaranya bertugas di bilik kawalan, dan juga akan diturunkan dalam operasi menyelamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui pada Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2018 di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata JBPM sehingga kini telah mempunyai seramai 1905 anggota bomba bantuan di seluruh Malaysia manakala anggota bomba bantuan di negeri ini mempuyai seramai 108 anggota.

Menurutnya, dengan pentauliahan ini, pihak dapat mengisi kekosongan di tujuh buah balai di negeri ini yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

"Kita percaya dengan keanggotaan penuh, kita telah pun membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir sesuai dengan monsun timur yang bermula pada bulan ni.

"Kita juga sedang merancang untuk pengisian dua balai bomba baharu iaitu di Chini dan Sungai Koyan dan dijangka bakal siap pada penghujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga kini dalam pindaan untuk menjadi pasukan bomba sukarelawan yang sebelum ini didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang bakal dipinda dan didaftar di bawah pindaan Akta Bomba 341 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

"Kalau pasukan bomba sukarelawan di letakkan di bawah jabatan segala pengurusan itu dapat dikawal dan dipantau dengan lebih dekat yang dapat meningkatkan lagi perkhidmatan dan kelengkapan untuk mereka," katanya.