Pembakar semangat buat The Pocket Rocketman

Iklan
Atlet berbasikal trek Terengganu Mohd Azizulhasni Awang (kanan) meraikan kemenangan bersama atlet berbasikal trek Selangor Muhammad Fadhil Mohd Zonis dalam acara pecut lelaki elit sempena Kejohanan Trek Kebangsaan 2019 di Velodrom Nasional Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

DUA pingat emas yang dimenangi pada hari pertama Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional, di sini, hari ini menjadi pembakar semangat untuk Mohd Azizul Hasni Awang melakar keputusan positif dalam beberapa kejohanan selepas ini.

Jaguh berbasikal negara itu menjelaskan beliau tidak menyangka dapat menewaskan seorang lagi pelumba kebangsaan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dalam acara 1km ujian masa individu lelaki, memandangkan acara berkenaan merupakan acara pilihan pelumba kelahiran Selangor itu.

Iklan
Iklan

Anak jati Terengganu itu meraih emas dalam acara berkenaan setelah mencatat masa terpantas 1 minit 03.168 saat, disusuli Muhammad Fadhil dengan pingat perak (1:04.283 saat), manakala pelumba Johor, Amar Danial Masri terpaksa berpuashati dengan pingat gangsa setelah mencatat masa 1 minit 05.052 saat.

"Secara keseluruhannya, saya berpuashati dengan pencapaian saya, tetapi saya turut gembira dengan pencapaian Muhammad Fadhil dan rakan senegara yang lain, kecuali kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang kurang sihat," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya perlumbaan berkenaan.

Iklan

Mohd Azizulhasni turut memenangi acara pecut setelah menewaskan Muhammad Fadhil.

Dalam pada itu, Mohd Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman memaklumkan beliau berpuas hati dengan kutipan mata yang diraihnya pada kejohanan berkenaan dan Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara, di venue yang sama, baru-baru ini bagi menempah tiket beraksi kejohanan Siri Piala Dunia seterusnya yang merupakan medan kutipan mata ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Iklan

"Bagi saya, pungutan mata yang saya perolehi ketika ini sudah memadai untuk layak beraksi pada Siri Piala Dunia, tapi saya rasa Muhammad Shah masih perlu banyak mencari mata dalam beberapa kejohanan selepas ini," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan pelumba wanita elit negara, Fatehah Mustapa yang meraih dua emas dalam acara 500m ujian masa individu dan pecut wanita, dan menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai medan pemanas terbaik sebelum menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia di India dari 21-23 September depan.

"Alhamdulillah, saya amat berpuashati dengan pencapaian saya pada kali ini, terutamanya catatan masa saya pada kejohanan ini walaupun ia agak sedikit menurun berbanding Kejohanan GP Asia Tenggara, di sini, baru-baru ini.

"Kejayaan ini merupakan pembakar semangat untuk saya kembali bangkit untuk memburu pingat di India nanti," jelas pelumba berusia 30 tahun itu. - Bernama