TEHERAN - Perkhidmatan ambulans di Iran didakwa telah disalah guna oleh golongan kaya termasuk selebriti dan atlet sukan di negara itu dan kini menjadi trend semakin membimbangkan semata-mata mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Ia bukan lagi untuk membawa pesakit ketika waktu kecemasan, namun dijadikan pengangkutan peribadi orang kaya malah tutor swasta yang menyewa ambulans semata-mata untuk membawa pelajar menghadiri peperiksaan universiti.
Perbuatan itu sememangnya salah di sisi undang-undang dan banyak pihak melihat tindakan pihak menyewa ambulans bukan untuk tujuan kecemasan adalah sebagai tidak bertanggungjawab.
Sejak minggu lalu, 'fenomena' itu turut hangat diperkatakan di media selepas dibongkar pengendali perkhidmatan tersebut.
"Tugas kami adalah untuk membawa pesakit. Kami bukan perkhidmatan teksi dengan siren untuk golongan kaya," kata Ketua Perkhidmatan Ambulans Swasta Naji, Mahmoud Rahimi.
Susulan perkara itu didedahkan oleh media tempatan, Peguam Negara telah mengeluarkan arahan supaya menghentikan pelanggaran seumpama itu.
Pihak berkuasa juga diarahkan untuk merampas ambulans yang didapati membawa individu selain pesakit dan syarikat terlibat juga bakal didakwa di mahkamah.
Teheran yang mempunyai populasi 14 juta penduduk dan pembinaan tidak terkawal telah menjadi salah sebuah bandar dengan lalu lintas paling sesak di dunia.
Ibu negara Iran itu telah melaksanakan pelbagai kaedah kreatif untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas itu, namun tidak berjaya.
Difahamkan, pemandu di tengah Teheran memerlukan permit khas dan kenderaan juga hanya dibenarkan untuk tempoh tertentu. - NY Times