PASIR PUTEH - ‘Amaran daripada Amaran’, begitulah usikan yang selalu diterima seorang petani yang tinggal di Kampung Haji Wan Omar, Semerak di sini.
Pemilik nama Amaran Ibrahim, 49, berkata, dia sudah lali dengan gurauan daripada rakan-rakannya itu.
"Saya tak kisah sangat, ia hanya nama.
Menurutnya, mendengar namanya sahaja ramai yang memberi gambaran bahawa dia seorang yang tegas.
"Saya sebenarnya suka bergurau, terutamanya dengan kawan-kawan.
"Tapi kalau soal kerja, saya serius. Itu yang bila saya bagi amaran masa buat kerja, kawan-kawan hanya sambut dengan senyuman sinis,” katanya.
Gigih bertani
Amaran kini gigih mengusahakan tanaman padi dan ubi keledek.
"Pertanian adalah bidang saya sejak dulu lagi, dah tak boleh berpisah sebab itulah saya diberi kepercayaan memimpin petani generasi baharu.
"Hanya satu nasihat saya, jangan mudah putus asa jika mahu berjaya dalam pertanian,” katanya.
Amaran yang juga memegang tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tok Bali di sini berkata, keluarganya mungkin mahu menamakannya sebagai Amran tetapi berlaku kekeliruan sehingga menjadi Amaran.
"Kalau dalam satu-satu majlis orang ramai mesti tersenyum bila nama saya disebut. Kerani-kerani pejabat juga sama, mereka akan bertanyakan nama saya sekali lagi walaupun saya sudah memberitahunya dengan jelas.
"Itu sahaja cabaran orang yang bernama pelik, sikit pun tidak menjejaskan urusan kehidupan,” katanya.
Katanya, dia tidak berhasrat menukar namanya kepada Amran, bukan kerana prosesnya sukar tetapi kerana dia menganggap nama Amaran sebagai perkataan biasa dan ia tidaklah sampai mengaibkannya.