Penting kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan

Iklan
Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang seharusnya ada dalam diri rakyat Malaysia tanpa mengira masa, malahan tindakan itu seharusnya lebih meriah dengan ketibaan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, masyarakat perlu memahami konsep meraikan kemerdekaan iaitu dengan menyatakan perasaan masing-masing khasnya ketika sambutan perayaan kebangsaan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lazimnya dua perkara yang akan dilakukan bagi menzahirkan perasaan gembira (negara merdeka) iaitu dengan menyanyikan lagu patriotik dan mengibarkan bendera negara.

"Daripada situ (dua perkara tersebut) kita boleh nampak iaitu mengibarkan bendera ini adalah sesuatu yang amat penting sebenarnya untuk kita menyatakan keseronokan dan kegembiraan kita.

Iklan

"Setiap manusia, dalam dirinya ada elemen-elemen tertentu dan nilai kemenangan wajib ada dalam kalangan masyarakat Malaysia, pada masa sama bersikap proaktif," katanya yang juga Presiden Yayasan Gagasan Pendidikan Kebangsaan (Gagasan) kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, masalah yang timbul ketika ini adalah sikap masyarakat yang kurang bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gamilang.

Iklan

"Ini yang kita kena lihat keberkesanan kita selama ini dalam mendidik seseorang untuk mempunyai tiga semangat iaitu kemerdekaan, kemenangan dan keseronokan dengan adanya negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

"Rakyat mesti bangga dengan negara ini dan dari aspek psikologi, seseorang yang tidak mengibarkan bendera atau menunjukkan bendera dikibar, ada kaitan dengan kegagalan menunjukkan tiga semangat itu," katanya.

Sungguhpun begitu, tambahnya, semangat cinta serta kesetiaan kepada negara tidak boleh dinilai semata-mata daripada tindakan seseorang sama ada mereka mengibarkan Jalur Gemilang ataupun tidak.

"Orang yang tidak kibar bendera kita tidak boleh kata dia negatif, kemungkinan dia ada bendera dalam bilik, rumah. Maka, kita tidak boleh nak kata dia tidak kibar bendera langsung. Mengibarkan bendera adalah cara mudah sebagai tanda orang nampak semangat setia dan cintakan negara," katanya.

Sementara itu, seorang pengurus majlis di sebuah syarikat swasta, S. Harikeshwaran, 29, berkata, beliau telah diajar untuk menjiwai semangat patriotik dan cintakan negara sejak kecil lagi sehinggalah hari ini.

"Dulu kami (keluarga) duduk berdekatan kem askar. Kami membesar di persekitaran yang penuh dengan jiwa raga patriotik, bahkan menggantung bendera (di kawasan rumah) sahaja sudah dapat merasai semangat yang luar biasa," katanya.

Pada masa sama, seorang pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta, Hasnul Huari Abdullah, 29, turut merasakan perasaan bangga apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang.

"Kibar bendera (Jalur Gemilang) ini seperti memberi suatu perasaan yang berbeza. Ia seperti mempunyai aura yang tersendiri," katanya.

Dalam pada itu, seorang peguam, Nelson Wong Yi Hau, 29, berasa amat penting untuk setiap warga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang bersempena dengan Hari Kebangsaan, malah lebih baik sekiranya dapat berbuat demikian sepanjang masa.

"Jalur Gemilang merupakan objek yang amat kita banggakan sebagai seorang warganegara Malaysia. Ia menunjukkan simbol pengorbanan, kebebasan dan kebanggaan rakyat Malaysia," katanya.

Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-62 pada 31 Ogos ini. - Bernama