PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap skim perlindungan sosial baharu ke atas suri rumah di Malaysia akan dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi perlindungan keselamatan kepada golongan itu biarpun mereka tidak bekerja.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, cadangan itu diharapkan akan menjadi realiti untuk dilaksanakan pada 1 Januari 2020 kepada 1.4 juta suri rumah yang disasarkan.
"Suri rumah ketika ini tiada sebarang perlindungan keselamatan sosial. Sebab itu Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran baru-baru ini menyatakan banyak kali termasuk di Parlimen bahawa kita perlu ada perlindungan untuk suri rumah.
"Jadi saya sangat berharap ia akan jadi realiti kerana suri rumah tidak ada sebarang perlindungan keselamatan. Sekiranya berlaku apa-apa, tiada sebarang faedah akan mereka peroleh,” katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara khas di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Pada masa sama, Dr Mohammed Azman berkata, bagi suami yang mampu, mungkin mereka ada membelikan perlindungan insurans untuk isteri masing-masing.
"Tapi bagi yang tak mampu, suri rumah tidak akan ada apa-apa jika berlaku kemalangan.
"Maka dengan caruman Perkeso ia sedikit sebanyak memberi perlindungan untuk suri rumah ini seperti yang telah diimplementasikan kepada pemandu teksi, bas dan e-hailing,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui, pihaknya tiada sebarang kuasa untuk mengumumkan mengenai pelaksanaan skim tersebut kerana ia masih diperhalusi di peringkat kementerian dan kerajaan.
"Sebenarnya cadangan ini telah lama (disuarakan), tetapi masih dalam perbincangan. Saya harap ia akan dapat kelulusan dan mekanisme bayaran akan kita lihat nanti.
"Siapa akan bayar caruman itu masih dalam perbincangan kerana pihak kami kalau boleh tidak mahu bebankan suami, kerana mungkin ada suri rumah yang mampu dan bersedia melakukannya, kami sedang lihat cara untuk membantu,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia merancang supaya 1.4 juta suri rumah di negara ini didaftarkan untuk perlindungan Perkeso.
Menterinya, M Kula Segaran berkata, setakat ini usaha itu sedang di peringkat menyediakan undang-undang berkaitan, selain mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak berkepentingan.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan kementerian itu bagi menambah baik Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.