BEKAS penyewa rasmi Carcosa Seri Negara, Asian Heritage Museum (AHM) berhasrat mempertahankan nilai sejarah bangunan lebih 100 tahun itu biarpun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM50,000 sebulan.
Penasihat Media AHM, Azmi Anshar berkata, sehingga kini AHM sudah menanggung kerugian mencecah RM1.3 juta bagi menguruskan Carcosa Seri Negara termasuk kos memperbaiki dan memulihkan bangunan bersejarah tersebut sejak mendapat hak penyewaan daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) selama tiga tahun sejak April 2017 hingga Mac 2020.
AHM selaku perusahaan sosial rasmi Carcosa Seri Negara cuba untuk ‘menghidupkan’ semula nostalgia aset bersejarah itu yang telah terbiar sekurang-kurangnya selama sembilan tahun.
"Secara puratanya AHM menanggung kerugian sebanyak RM50,000 setiap bulan. Kerajaan selaku tuan tanah tidak membuat apa-apa pembaikan untuk tanah disewakan ini. Jadi kami hantar surat supaya tak perlu bayar sewa sebagai alternatif membuat pembaikan sendiri.
"AHM tidak pernah merungut akibat menanggung kerugian tetapi tidak munasabah apabila kerajaan menghalau kami keluar dari Carcosa Seri Negara tanpa sebab pada Mac lalu dan memberi notis sitaan pada April lalu,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian di Pejabat AHM di Mid Valley City baru-baru ini.
Azmi berkata, atas sebab memahami keadaan ekonomi sekarang ini, AHM tidak mengharapkan peruntukan besar daripada kerajaan sejak 2017 lagi bagi membantu membaiki dan memulihkan Carcosa Seri Negara.
Menurutnya, apa diharapkan AHM, kerajaan memberikan masa kepada AHM untuk menjana pembiayaan sendiri dan memberi balik hak penyewaan mengikut kontrak dipersetujui sebelum ini.
"AHM mendapat peluang mengambil alih Carcosa Seri Negara untuk mewujudkan Muzium Keamanan dan juga lokasi jual beli barangan artifak purba Cina berusia lebih 5,000 tahun. Bagaimanapun mengadakan sebuah muzium memerlukan kos besar untuk membaik pulih bagi tujuan keselamatan dan kami pilih untuk mengadakan pameran Jalan Merdeka terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya, umum tahu sejarah kawasan seluas 30 ekar itu sangat berkait dengan sejarah kemerdekaan negara.
Kerabat raja
"Bila AHM ambil alih satu-satunya projek kita buat terlebih dahulu ialah Jalan Merdeka iaitu pameran ke arah mendapatkan kemerdekaan daripada British bermula dari 1920-an hingga detik 1957.
"Itu projek gemilang kita buat dan mendapat dana hampir setengah juta ringgit daripada pelbagai pihak selain projek berkenaan mendapat pujian daripada pelawat termasuk kerabat diraja yang hadir dan tempoh pameran yang pada awalnya hanya dua bulan diteruskan tanpa had masa memandangkan sambutan menggalakkan,” katanya.
Menurutnya, kos membaiki Carcosa Seri Negara pada masa diambil alih itu bernilai RM20 juta sedangkan mereka tidak mempunyai jumlah wang sebanyak itu dan kerajaan pula tidak memberi pembiayaan.
"Jadi pada masa itu kami minta kerajaan tidak mengenakan sewa.
"Bangunan itu sudah terbiar hampir sembilan tahun. Daripada luar bangunan nampak cantik kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memang jaga taman di situ. Bagaimanapun apabila masuk ke dalam bangunan, ia berbau busuk, ada air bertakung, terdapat pecahan pada struktur bangunan termasuk dipenuhi najis kelawar.
"Jadi kami terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membaiki terutamanya di tingkat bawah bangunan padahal membaiki bahagian dalam bangunan adalah tanggungjawab kerajaan. AHM sedih melihat khazanah warisan sejarah itu dibiarkan begitu sahaja dan kami percaya kerosakan di Carcosa semakin memburuk sejak kami keluar dari situ,” katanya.
Menurutnya, AHM bertungkus-lumus mencantikkan semula bangunan bersejarah tersebut sehingga dijadikan lokasi penggambaran filem Crazy Rich Asians yang dibintangi pelakon filem antarabangsa terkenal iaitu Tan Sri Michelle Yeoh.
"Secara tidak langsung, penggambaran tersebut menaikkan nama Carcosa Seri Negara. Selain itu, pelbagai siri sejarah televisyen British daripada tahun 40-an hingga 50-an dibuat di sini.
"Carcosa Seri Negara juga dibuka setiap hari untuk dilawati orang awam secara percuma untuk melihat keindahan dan merasai nilai sejarah rumah agam ini,” katanya.
Menjelaskan lanjut usaha AHM bagi menaikkan semula imej Carcosa Seri Negara, AHM membuka peluang penyewaan untuk penganjuran sebarang majlis di Carcosa seperti majlis perkahwinan selain orang ramai boleh beriadah di kawasan taman bangunan bersejarah itu.
"Bayangkan sewaktu diminta keluar, AHM memperoleh sekurang-kurangnya 10 tempahan penyewaan majlis perkahwinan di Carcosa Seri Negara,” katanya.
Azmi berkata, dengan begitu banyak usaha dibuat AHM serta kerugian wang yang terpaksa ditanggung demi Carcosa Seri Negara, akhirnya hak AHM dinafikan kerajaan.
"Kita ada setahun lagi tempoh untuk tamat penyewaan tapi kita sudah diberikan notis keluar dari Carcosa Seri Negara sejak Februari. Pada April lalu bangunan sudah pun disita sedangkan masih terdapat barangan artifak purba dalam bangunan itu.
"Sebanyak 10 gendang rebana termasuk setinggi empat meter, perisai-perisai zaman purba dari zaman kegemilangan rumpun Melayu, barangan kristal berjuta-juta tahun dan lain-lain lagi. Itu hanya sebahagian yang dipamerkan tetapi kita ada kira-kira 1,500 barangan purba yang kita ingin kongsikan sebaik kita berjaya mendirikan Muzium Keamanan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan memberi peluang kepada AHM memperbaiki Carcosa Seri Negara.
"Apa yang dilakukan kerajaan kini seolah-olah jenayah sosial yang memburukkan warisan negara. Lokasi bersejarah ini sangat bernilai untuk kita kekalkan dan kita jaga daripada terbiar begitu sahaja,” katanya.
"Kalau ikut harga pasaran, paling kurang pun RM1 bilion tapi kalau dari segi sejarah ianya tiada tandingan serta perlu dikekalkan bukan hanya bangunan bahkan kawasan kehijauan sekeliling bangunan itu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Carcosa Seri Negara bakal lenyap
Benarkah jelmaan Lady in White muncul di Carcosa?