Md Jatin anggap Pararasan macam cucu sendiri

Iklan
Mat Jatin (kiri) minum teh bersama Pararasan di rumahnya.

BERBEZA kaum dan agama bukan penghalang untuk masyarakat Malaysia hidup saling hormat-menghormati.

Perkara itu dibuktikan oleh dua keluarga berbangsa Melayu dan India yang hidup berjiran di Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil di sini.

Iklan
Iklan

Setiap petang, Pararasan Vellasamy, 11, akan datang berkunjung ke rumah Md Jatin Saad, 57, untuk bermain bersama cucunya, Muhammad Alif Firdaus berusia lima tahun.

Md Jatin berkata, kanak-kanak India itu sering menghabiskan masa di rumahnya pada setiap petang.

Iklan

Menurutnya, ada kalanya Pararasan turut datang pada waktu malam.

"Boleh dikatakan setiap hari dia datang rumah saya untuk bermain dengan cucu.

Iklan

"Dia cukup suka mengusik Alif. Kadang-kadang main kejar mengejar. Depa berdua berkawan baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Alif bermain dengan Pararasan.

Md Jatin berkata, hubungan keluarganya dengan kanak-kanak itu mula erat sejak berpindah ke kawasan itu.

"Kami mula pindah di kawasan ini kira-kira dua tahun lepas.

"Daripada tak kenal Pararasan lama kelamaan semakin rapat dengannya,” katanya.

Katanya, Pararasan juga sudah terbiasa hidup dalam suasana hidup masyarakat Melayu.

"Dalam kampung ini semua orang Melayu, cuma keluarganya saja India.

"Pararasan dah terbiasa berkawan dengan budak-budak Melayu. Dia juga amat fasih berbahasa Melayu,” katanya

Bagi isteri Md Jatin, Zubaidah Mat, 50, dia tidak kekok mengajak kanak-kanak berkenaan untuk makan bersama mereka sekeluarga.

"Jika dia datang waktu kami sekeluarga sedang makan, saya akan ajak dia untuk makan bersama,” katanya.

Pararasan sering membantu tanpa diminta.

Rajin membantu

Anak bongsu daripada lima beradik itu turut rajin menolong keluarga Mat Jatin.

Bagi Syazrina Mat Jatin, 21, Pararasan rajin membantu keluarganya tanpa diminta.

"Pernah saya sedang angkat barang-barang masuk rumah. Bila Pararasan nampak dia terus tolong membantu,” katanya.

Katanya, sikap ambil berat Pararasan membuatkan mereka sekeluarga juga tertanya-tanya apabila tidak datang ke rumah.

"Pernah dia tak datang lama, rasanya seminggu juga. Rupa-rupanya dia demam waktu itu,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Dilayan baik

Dalam pada itu, Pararasan berkata, dia dilayan baik walaupun semua jiran adalah berbangsa Melayu.

"Semua orang Melayu sama ada rakan-rakan atau orang lebih tua di kampung ini amat baik.

"Seronok tinggal di sini kerana walaupun hanya keluarga saya kaum India tetapi kami tak terasa seperti diasingkan,” katanya.

Pararasan (dua dari kiri) menonton televisyen bersama keluarga Mat Jatin.

Katanya, setiap Hari Raya Aidilfitri juga dia akan menziarahi rumah rakan-rakan Melayu termasuk keluarga Mat Jatin.

"Saya selalu beraya beramai-ramai dengan kawan-kawan Melayu. Sejak Pak Cik Mat Jatin pindah sini, saya juga akan menziarahi rumahnya pada hari raya,” katanya.

Walaupun bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil namun ia tidak menjadi halangan untuk Pararasan mendapat keputusan baik dalam subjek Bahasa Melayu.

"Saya amat suka subjek Bahasa Melayu. Setakat ini keputusan peperiksaan dalam subjek itu memuaskan,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang juru terbang.

Manakala kakak ketiga Pararasan, Sangari Vellasamy, 17, berkata, di kampung itu, kanak-kanak Melayu juga kerap berkunjung ke rumahnya bagi mengulang kaji pelajaran dan bermain.

"Kebiasaannya saya akan mengajar mereka subjek Bahasa Inggeris dan Matematik,” katanya.