KUANTAN - Seorang remaja nyaris dipatuk ular tedung selar sepanjang lebih 3 meter berhampiran alur sungai di belakang rumahnya di Felda Panching Utara di sini Sabtu lalu.
Remaja terbabit, Muhammad Khairil Hafiq Mohd Rosdi, 15, bernasib baik apabila sempat melarikan diri selepas ular tersebut muncul secara tiba-tiba di hadapannya sambil mengangkat kepala.
Kejadian kira-kira jam 3 petang itu dimaklumkan kepada bapanya, Mohd Rosdi A Halim, 37, sebelum mereka ke lokasi dan mendapati ular tersebut masih berada di situ.
Mohd Rosdi berkata, dia tidak berani untuk menangkap ular berbisa itu kerana saiz badan yang panjang dan besar selain kelihatan agak agresif.
Menurut Mohd Rosdi, dia mengambil keputusan menghubungi pihak bomba untuk bantuan menangkap reptilia itu.
"Saya tidak pernah lihat ular tedung selar sebesar ini dan tidak menyangka ia tiba-tiba muncul dan nyaris patuk anak sendiri.
"Saya percaya ular ini datang dari kawasan ladang sawit di belakang rumah dan mungkin masuk ke semak di belakang rumah saya untuk mencari makanan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menceritakan kejadian cemas dilalui anaknya itu, Mohd Rosdi berkata, ketika kejadian anaknya baru selesai menggali cacing di belakang rumah untuk umpan memancing.
"Dia kemudiannya menuju ke alur sungai berhampiran untuk mencuci tangan dan ketika itulah ular tersebut muncul secara tiba-tiba di hadapannya.
"Mujurlah tiada perkara buruk terjadi apabila dia (anak) sempat melarikan diri," katanya.
Dia berkata, anggota bomba yang tiba selepas dihubungi berjaya menangkap reptilia tersebut dalam tempoh kurang 10 minit.
"Saya sendiri turut membantu bomba menangkap ular berkenaan dan rasa lega bila ia dibawa keluar dari kawasan tersebut," katanya.