KOTA BHARU - Kerajaan negeri tidak ada halangan dengan cadangan Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa mengenai penyelidikan atau perkongsian teknologi spesies pokok marijuana atau ganja kesihatan.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya nama ‘ganja’ dikomersialkan sebagai salah satu produk biarpun dalam konteks kesihatan.
Beliau berkata, sekiranya ia memberi manfaat dari segi kesihatan dan perubatan Ahmad berkata, dadah atau ganja perubatan ini perlu menggunakan istilah lain.
"Kita tak ada masalah kalau ada pihak mahu membuat kajian tapi seeloknya cubalah cari nama lain.
"Penagih menyalah gunakan dadah, maka jatuh haram kerana memudaratkan kesihatan,” katanya, selepas Kuliah Jumaat, semalam.
Beliau berkata, sejak sekian lama dadah sinonim dengan penggunaan bahan yang menjurus ke arah kehancuran masa depan anak muda.
Namun katanya, tidak dinafikan ia turut mempunyai kelebihan lain dari segi perubatan.
Ahmad berkata, ia boleh ditukar kepada istilah lain menggunakan nama tumbuhan atau herba.
Kelmarin, Husam menyatakan kesediaan untuk berkongsi maklumat mengenai teknologi spesis pokok marijuana atau ganja kesihatan dengan pihak berwajib jika ada yang mahu melakukan kajian terhadap tumbuhan itu.
Menurutnya, ganja itu tidak sama dengan ganja yang diperkatakan orang ramai untuk berubat kerana ganja ini masih lagi mengekalkan rasa ketagihan tersebut.