KOTA BHARU - Lima lelaki termasuk ketua sindiket pengedaran dan penyeludupan senjata api jenis pistol yang dijual dengan harga RM10,000 tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pekan Lama, Gua Musang Khamis lalu.
Suspek utama berusia 41 tahun ditahan bersama ahli geng yang berusia antara 37 sehingga 61 tahun.
Turut dirampas sepucuk pistol bersama 100 butir peluru dan tiga jenis dadah bernilai RM23,650.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, berdasarkan maklumat awam sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Gua Musang menjalankan risikan dan menyerbu rumah didiami mereka pada jam 10 malam.
"Hasil pemeriksaan di ruang tamu dan sebuah bilik di bahagian belakang rumah menjumpai satu bungkusan berisi anggaran berat 140.2 gram dadah jenis syabu; 80 pil ekstasi dan 22 pil kuda.
"Pemeriksaan lanjut di bilik bahagian hadapan rumah menjumpai sepucuk pistol Revolver automatik berjenama CZ 2075 Rami berwarna hitam dan sekotak peluru berjumlah 100 butir yang dipercayai bersedia untuk dijual kepada pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan lain dan aktif menjalankan kegiatan penyeludupan senjata api serta dadah yang dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia bertujuan dipasarkan ke pasaran gelap di selatan tanah air sejak empat bulan lalu.
"Sama seperti dadah-dadah tersebut, senjata api juga diperolehi sindiket dari negara jiran dan diseludup masuk ke negara ini untuk dijual kepada pembeli di Johor dengan harga RM10,000.
"Siasatan awal suspek mengaku dalam tempoh empat bulan sejumlah empat pucuk pistol sudah dijual kepada individu yang masih disiasat identitinya,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek turut positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkait dadah serta rekod curi kenderaan.
"Polis turut menyita wang tunai, lima telefon bimbit pelbagai jenama, seutas rantai leher emas; sebentuk cincin emas, sebentuk loket emas, dua motosikal Honda EX5 dan sebuah kereta Toyota Estima yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM91,040.
"Kesemua mereka direman seminggu sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.