Drawbridge jadi laluan larian antarabangsa

Iklan
Wan Sukairi (dua dari kiri) dan Wan Hisham (tengah) menunjukkan baju Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2019.

KUALA TERENGGANU - Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2019 (LAJSM’19) yang bakal berlangsung pada 14 September ini di Dataran Pantai Batu Burok tampil istimewa apabila larian tersebut akan melalui jambatan angkat atau drawbridge.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya bersetuju menjadikan jambatan angkat yang merupakan mercu tanda baharu Terengganu sebagai sebahagian laluan pada kejohanan tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bertemakan ‘Vacay-Run’ bagi mempromosikan sukan pelancongan, LAJSM’19 yang masih lagi dikelolakan oleh Persatuan Olahraga Amator Terengganu (POAT) menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM165,500.

"LAJSM’19 ini melibatkan lima kategori utama iaitu 42 kilometer (km), 21km, 12km, 8km dan 5km atau lebih dikenali sebagai ‘Fun Run’.

Iklan

"Masa pelepasan yang melibatkan pelbagai kategori juga dikekalkan iaitu akan bermula pada jam 12.01 malam dan dijangka berakhir pada jam 10 pagi,” katanya pada Majlis Penyerahan Penajaan LAJSM’19 di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim dan Presiden POAT, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Iklan

Wan Sukairi berkata, penyertaan LAJSM’19 yang secara rasminya ditutup pada 10 Ogos lalu berjaya menarik perhatian seramai 25,500 orang.

Daripada jumlah itu katanya, lebih 5,000 peserta dari luar Terengganu termasuk 210 peserta luar negara iaitu Singapura, Kenya, Thailand, Amerika Syarikat, Yemen, India, Nigeria, Somalia, Jordan dan Brunei.

LAJSM’19 merupakan sukan pelancongan bertaraf antarabangsa terbesar di Terengganu yang mendapat tajaan dari Ultron, 100 Plus, Perozin, Yakult, Primula Beach Hotel dan Red Bull Malaysia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri menjayakan Visit Beautiful Terengganu.

"Kita mengalu-alukan semua pihak sama ada kerajaan, swasta, NGO dan para belia untuk sama-sama hadir memeriahkan program dan memberi sokongan terutamanya di sepanjang laluan perlumbaan terlibat,” katanya.