Tiada lesen: Pemilik resort diberi tempoh sehingga 31 Ogos

Iklan
Aminuddin Harun

SEREMBAN - Kerajaan negeri sedang memikirkan tindakan drastik yang mungkin dikenakan terhadap pemilik resort di Pantai Hills Resort di sini, yang masih belum mengemukakan permohonan kelulusan lesen beroperasi kepada Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mereka diberi tempoh sehingga 31 Ogos ini untuk berbuat demikian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas tempoh itu berakhir satu lagi perbincangan dengan pihak berkaitan akan diadakan untuk tindakan selanjutnya.

"Kita telah buat tawaran kepada pemilik untuk buat pemutihan kerana selama ini mereka beroperasi tanpa kebenaran dan tidak mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

Iklan

"Tempoh akhir diberi sehingga 31 Ogos ini dan kerajaan negeri tengah fikirkan untuk ambil tindakan drastik terhadap kawasan ini kerana ada beberapa kesalahan dilakukan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (Rantau-BN) pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, pihaknya mendapati resort berkenaan telah lama beroperasi dan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, lawatan bersama pihak berkaitan telah diadakan di situ.

Iklan

Terdahulu, Mohamad menasihatkan kerajaan negeri supaya jangan terlalu ghairah mempromosikan produk ekopelancongan di negeri ini termasuk di Bukit Berembun di bawah kawasan DUN Lenggeng sehingga lupa aspek keselamatan.

Beliau memberi contoh tragedi yang berlaku terhadap remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang ditemui meninggal dunia selepas 10 hari hilang dari resort penginapannya di kawasan Pantai.

"Isu ini perlu ditangani segera kerana ia akan mendatangkan imej yang tidak baik kepada negara dan Negeri Sembilan kerana operator yang menjalankan ekopelancongan itu kita tidak tahu operasinya macam mana," katanya.