RANTAU PANJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Pasir Mas membuat pemantauan berterusan di semua 16 stesen minyak di sini termasuklah Rantau Panjang bagi memastikan bekalan bahan api sentiasa cukup.
Ketua Cawangannya, Izani Abdul Latif berkata, pemantauan itu dilakukan selepas timbulnya ura-ura keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.
"Semua ini timbul selepas kerajaan mahu melaksanakan semua langkah mengapung semula harga bahan api petrol dan diesel secara mingguan," katanya.
Terdahulu, beliau bersama anggota mengadakan pemeriksaan stok simpanan minyak di salah sebuah stesen di sini semalam.
Menurutnya, KPDNHEP Pasir Mas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha stesen yang didapati melanggar peraturan berkaitan stok penyimpanan minyak.
Katanya, bahan api petrol dan diesel telah diwartakan sebagai barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975 lagi.
"Melanggar syarat yang terkandung dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan.
"Kita boleh caj mereka dibawah PeraturanvPeraturan 12 (A) Peraturan-peraturan Kawalan 1974," katanya.
Izani berkata, dibawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha tidak dibenarkan menutup stesen petrol dan diesel atau memberhentikan penjualan bahan api tersebut di stesen mereka tanpa kebenaran.
Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan memetik kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Datuk Abu Samah Bachik melaporkan pengguna dikhuatiri bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.
Dalam perkembangan lain, Izani berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan berkala keatas kenderaan asing khususnya dari Thailand yang masuk membeli bahan api di negara ini.
Katanya, pemeriksaan berlaka itu turut dilakukan keatas pengusaha stesen bagi memastikan mereka mematuhi peraturan penjualan 20 liter diesel untuk kenderaan asing.
"Bagi petrol Ron95, kita 'haramkan' terus penjualan untuk kenderaan asing dan hasil pemeriksaan yang dilakukan pemilik atau pengusaha stesen mematuhi peraturan ini," katanya.