Pelajar gantung diri: KPM tunggu laporan penuh

Iklan
Maszlee (tengah) bersama Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok yang terjejas akibat ribut baru-baru ini.

SUNGAI PETANI - Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu laporan penuh kes kematian seorang pelajar yang dipercayai tertekan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah sebelum sebarang tindakan diambil.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, masih terlalu awal untuk mengambil sebarang tindakan mahupun memperkenalkan modul khas bagi menangani isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita tunggu siasatan polis dan kita tunggu di peringkat kementerian sendiri akan menyediakan laporan," katanya ketika mengadakan lawatan kerja meninjau kerosakan akibat ribut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok di sini hari ini.

Menurutnya, beliau sedih dengan kejadian menimpa pelajar tingkatan satu itu kerana institusi sekolah sepatutnya menjadi tempat gembira untuk pelajar belajar dan guru mengajar.

Iklan

"Tetapi apabila sampai tahap dapat tekanan itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Dalam kejadian malam Sabtu lalu, pelajar 13 tahun terbabit ditemukan bapa dalam keadaan tergantung di bilik air rumah mereka di Georgetown, Pulau Pinang selepas mengadu tidak dapat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Iklan

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan sarapan percuma di sekolah yang akan dilaksanakan pada 2020, Maszlee berkata, program itu bertujuan memastikan murid mendapat makanan berkhasiat dalam membina generasi yang sihat.

Maszlee (kiri) meninjau kerosakan yang dialami Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok akibat ribut baru-baru ini.

"Perdana Menteri pun setuju dan melihat bagaimana Jepun melaksanakannya, selari dengan dua konsep utama untuk memastikan anak-anak dapat makanan berkhasiat sementara proses pembelajaran sivik berlangsung sekali gus.

"Pelajar akan duduk makan dengan guru, belajar adab makan yang betul, cuci tangan dan tertib di mana semua ini dapat melatih disiplin mereka dengan lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maszlee turut membidas kenyataan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) yang menyekat anak-anak ke sekolah sebagai tanda proses terhadap pengajaran seni khat jawi di sekolah jenis kebangsaan.

"Sekolah adalah tempat paling selamat untuk anak-anak. Pada saya sepatutnya masyarakat dan NGO menggalakkan anak-anak pergi ke sekolah untuk menimba ilmu, berkawan, belajar sikap hormat-menghormati dan mendengar tunjuk ajar guru," katanya.